Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Kekal Berkuat Kuasa
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), ingin menegaskan bahawa dasar pengecualian bayaran balik pinjaman bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama kekal berkuat kuasa dan tidak pernah ditarik balik.
Insentif pengecualian ini diberikan kepada peminjam PTPTN yang bergraduan mulai tahun 2019 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf tanpa mengira latar belakang ekonomi, kaum atau agama.

Graduan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh mengemukakan permohonan pengecualian bayaran balik secara dalam talian melalui aplikasi Web myPTPTN di pautan: https://myptptn.ptptn.gov.my.
PTPTN sentiasa komited dalam memastikan proses permohonan insentif ini dilaksanakan secara telus, efisien dan adil demi menjaga kebajikan peminjam serta menyokong aspirasi pendidikan tinggi negara.
Sehubungan itu, PTPTN menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu pendidikan serta menghormati dasar sedia ada yang memberi manfaat secara langsung kepada graduan cemerlang. Fokus utama kita adalah untuk memastikan pendidikan kekal sebagai medan pembangunan insan dan bukannya medan polemik politik.