Pengaruh Ronaldo, Pengikut IG Al-Nassr Naik Lebih Tiga Kali Ganda, Dari 860k Ke 2.8 Juta Dalam Sehari
Pengikut di Instagram kelab Arab Saudi, Al-Nassr meningkat lebih tiga kali ganda selepas pengumuman bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sebagai pemain baharu kelab itu dibuat semalam.
Kelab itu pada awalnya hanya mempunyai seramai 860 ribu pengikut, namun telah meningkat kepada lebih 2.8 juta dalam tempoh semalaman, sekaligus membuktikan pengaruh media sosial yang dimiliki pemain tersebut.
Sebelum ini, berita berkenaan Cristiano Ronaldo dilaporkan bakal menyertai kelab bola sepak Arab Saudi, Al-Nassr itu telah mendapat liputan hangat media sejak temasya Piala Dunia sedang berlangsung lagi.
Dengan pengumuman rasmi dibuat semalam, ia sekaligus menjadi salah satu kontrak paling bersejarah yang pernah direkodkan oleh sebuah kelab Asia.
Berdasarkan laporan ESPN, Ronaldo telah menandatangani kontrak panjang sehingga musim panas 2025 nanti dan beliau akan menerima kontrak bernilai RM330 juta setahun. Kontrak itu menjadikannya pemain dengan bayaran tertinggi dalam sejarah bola sepak.
Kelab Al-Nassr yang berpangkalan di Riyadh telah bermain dalam Liga Pro Saudi dan merupakan kelab kedua dengan gelaran liga domestik paling banyak.
Nampaknya nama Ronaldo masih mendapat tempat di hati peminat sukan bola sepak dunia.
Sumber: ESPN FC