KUALA LUMPUR, 8 Julai (BERNAMA) — Seorang warga emas yang juga seorang pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram lebih RM9 juta, sejak 2013 hingga 2017.
Lau Kok Loon, 77, pengarah syarikat pemaju Semenyih Jaya Sdn Bhd, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan dalam Bahasa Inggeris, di hadapan Hakim Hasbullah Adam.
Tertuduh didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang melalui akaun simpanan tetap Hong Leong Bank miliknya, kepada akaun simpanan semasa bank sama yang juga miliknya, melalui 34 transaksi pemindahan berjumlah RM9,155,644.23 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank, cawangan utama Kuala Lumpur, Tingkat 1, Wisma Hong Leong, Jalan Perak, di sini, pada 4 Dis 2013 hingga 19 Sept 2017, mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin, menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam S. S. Devanandan, memohon dikurangkan kepada RM30,000 dengan seorang penjamin, atas alasan anak guamnya menghidap pelbagai penyakit termasuk kanser usus, sakit jantung dan sakit tulang belakang.
“Walaupun anak guam saya menghidapi pelbagai jenis penyakit, beliau tetap memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis setiap, kali dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 20 Julai untuk sebutan semula kes.
Sumber: BERNAMA