
Penganalis Ekonomi Sifatkan Thailand “Negara Sakit ASEAN”, Ini Sebabnya
BANGKOK — Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi laporan World Economic Outlook (WEO) mendedahkan Thailand kini berdepan dengan cabaran ekonomi selepas negara itu kini sebagai antara ekonomi paling perlahan di rantau Asia Tenggara, lapor Bangkok Post.
Menurut laporan tersebut, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand dijangka hanya 1.6 peratus pada tahun 2026.
Ia menjadikan peratusan terendah dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN (sebelum kemasukan Timor-Leste), dan kedua terendah di Asia selepas Jepun (0.6 peratus)
Difahamkan, ekonomi negara itu diunjurkan berkembang sekitar 2.0 peratus jauh di bawah purata negara anggota lain pada tahun ini.
Susulan itu, pakar ekonomi, Chartchai Parasuk menyifatkan angka itu sebagai amaran bahawa ekonomi Thailand sedang “sakit” ibarat the sick man of ASEAN dan memerlukan tindakan segera.
Menurutnya lagi, purata pertumbuhan nominal KDNK Thailand antara tahun 2025 hingga 2030 dijangka sekitar 2.8 peratus, atau hanya 1.8 peratus secara nyata (real GDP), iaitu kadar paling rendah dalam kalangan ekonomi utama ASEAN.
Sekiranya trend in berterusan, kedudukan Thailand dijangka jatuh daripada ekonomi ketiga terbesar di ASEAN kepada kelima terbesar menjelang 2030.
Sebagai perbandingan, kadar purata pertumbuhan nominal lima tahun bagi negara ASEAN lain ialah: Filipina (8.5 peratus), Indonesia (7.3 peratus), Vietnam (6.3 peratus), Malaysia (6.0 peratus), dan Singapura (4.3 peratus).

Selain itu, hutang isi rumah yang tinggi turut memburukkan keadaan dengan nisbah hutang isi rumah kepada KDNK sebanyak 88.2 peratus.
Angka itu antara yang tertinggi di dunia melebihi Hong Kong (87.8 peratus), Norway (87.4 peratus) dan Denmark (84.8 peratus).
Sementara itu, kadar NPL rasmi yang dilaporkan Bank of Thailand (BoT) hanyalah 2.83 peratus namun dipercayai jauh lebih tinggi melebihi 20 peratus.
Bank-bank di Thailand dikatakan menyembunyikan hutang bermasalah dengan menstruktur semula pinjaman supaya kelihatan baik.
Akibatnya, sistem perbankan mengalami pertumbuhan pinjaman negatif selama 15 bulan berturut-turut, menjadikannya seperti “bank zombi”.
“Apabila semakin sedikit wang mengalir ke dalam sistem ekonomi, kitaran pertumbuhan rendah dan hutang buruk pun berterusan.
“Jadi, ekonomi Thailand tidak akan pulih sehingga masalah NPL diselesaikan dan sistem perbankan dipulihkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, krisis yang dihadapi Thailand juga melibatkan daya saing industri.
Jelasnya, sistem perindustrian di Thailand gagal menjana pendapatan mencukupi untuk menggerakkan pertumbuhan atau melunaskan hutang negara
Untuk mencapai taraf pendapatan seperti Malaysia yang hampir dua kali ganda pendapatan per kapita Thailand, negara itu perlu beralih kepada produk berasaskan nilai tambah tinggi.
Ia terutamanya dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).
Bagi mencapai matlamat ini beliau menyatakan tiada jalan pintas dan menjangkakan negara Thailand berkemungkinan mengambil masa 20 tahun, untuk membina asas pengetahuan berorientasikan STEM.
Sumber: Bangkok Post
BACA: Lindung 24/7: 10 Juta Pekerja Formal Bakal Nikmati Perlindungan Menyeluruh – KESUMA