Bagaikan fantasi dalam cerita kanak-kanak, sebuah bandar dilapor telah ‘dihujani’ atau ‘salji’ serbuk koko turun di Switzerland.
Menurut Insider, serbuk koko itu dilaporkan bertebaran di bandar Olten yang terletak antara Zurich dan Basel. Kejadian ini dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem ventilasi di sebuah kilang coklat premium, Lindt & Sprüngli.
Syarikat coklat yang telah wujud sejak lebih 170 tahun lalu itu dilapor mengakui terdapat kerosakan kecil pada sistem ventilasi penyejukan di bahagian pemanggangan biji koko.
Tiupan angin yang kuat pula kemudian membawa serbuk koko itu bertebaran ke kawasan-kawasan di sekitar kilang berkenaan.
Switzerland merupakan antara negara yang terkenal dengan penghasilan coklat premium mereka selain Belgium, Jerman dan Amerika Syarikat.
Sumber: Insider, Investopedia