Peminat Bola Sepak Kecewa Harga Tiket Piala Dunia 2026 ‘Cekik Darah’
Sebahagian besar peminat bola sepak seluruh dunia meluahkan rasa tidak puas hati terhadap harga tiket Piala Dunia 2026 yang dianggap terlalu mahal dan di luar kemampuan, lapor ESPN.
Menerusi perkongsian tular di media sosial, menunjukkan harga tiket bagi aksi peringkat kumpulan antara $140 (RM572) hingga $265 (RM1,084).
Harga paling rendah untuk perlawanan akhir ialah $4,185 (RM17,125) manakala yang tertinggi mencecah $8,680 (RM35,518).
Harga itu jauh berbeza daripada dakwaan FIFA bahawa tiket $60 (RM245) akan tersedia.
Bahkan semasa bidaan tujuh tahun lalu, pegawai bola sepak Amerika Syarikat menyasarkan untuk menawarkan ratusan ribu tempat duduk berharga $21 (RM85) bagi peringkat awal kejohanan.
Difahamkan, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperuntukkan 8 peratus tiket kepada persatuan bola sepak negara bagi perlawanan melibatkan pasukan masing-masing untuk dijual kepada penyokong.
Susulan itu, badan penyokong, Football Supporters Europe (FSE), menyifatkan harga semasa sebagai cekik darah.
Menurut maklumat yang diterima FSE, penyokong dijangka perlu membayar $8,111 (RM33,190) untuk menghadiri semua perlawanan dari aksi pembukaan hingga final melalui peruntukan PMA (Participant Member Association).
Harga Tiket Dibahagi Ikut Tiga Kategori
Malah tiket juga dibahagikan kepada tiga kategori. FSE menyatakan jumlah itu lima kali ganda lebih mahal berbanding Piala Dunia di Qatar.
“Ini satu pengkhianatan besar terhadap tradisi Piala Dunia, mengabaikan sumbangan penyokong kepada kemeriahan kejohanan,” kata FSE.
FSE turut menegaskan bahawa harga tidak diseragamkan untuk semua perlawanan kumpulan, sebaliknya ditetapkan berdasarkan kriteria tidak jelas seperti tahap tarikan perlawanan.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak England berkongsi maklumat harga dengan England Supporters Travel Club (ESTC).
Ia menunjukkan jika seorang penyokong membeli tiket untuk semua perlawanan hingga final, kos keseluruhan mencecah $7,020 (RM28,725)
Malah Kumpulan penyokong England, Free Lions turut menyokong kenyataan FSE, sambil menambah harga tersebut lebih tinggi daripada apa yang kami jangka.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Penyokong di seluruh dunia layak dilindungi daripada harga yang tidak masuk akal ini,” kata kumpulan itu.
Pada September lalu, FIFA memaklumkan tiket yang dijual melalui laman webnya akan bermula daripada $60 (RM245) untuk perlawanan kumpulan hingga $6,730 (RM27,539) untuk final.
Namun, harga tersebut boleh berubah kerana buat pertama kali FIFA mengguna pakai harga dinamik untuk Piala Dunia.
Tiket FIFA dibahagikan kepada empat kategori, dengan Kategori 1 menawarkan tempat duduk terbaik.
Dalam senarai harga yang diterbitkan oleh Persekutuan Jerman, hanya tiga kategori disenaraikan.
Tiket paling murah ialah $180 (RM730) untuk perlawanan pembukaan Jerman menentang Curacao di Houston. Harga tiket paling rendah untuk separuh akhir ialah $920 (RM3,765, meningkat hingga $1,125 (RM4,603).
FSE menggesa FIFA segera menghentikan jualan tiket melalui persatuan negara “sehingga satu penyelesaian yang menghormati tradisi, kesaksamaan dan nilai budaya Piala Dunia dicapai.
Terdahulu, harga tiket Piala Dunia Qatar pada 2022 diumumkan berada dalam lingkungan $70 (RM286) hingga $1,600 (RM6,547)
Sumber: ESPN