Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob menjelaskan bahawa pembubaran Parlimen ke-14 hari ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan.
Ismail menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri yang berlangsung sebentar tadi berkata dengan pembubaran ini juga mandat sudah dikembalikan semula kepada rakyat.
“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang mempu meneruskan perlaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023 mengekalkan kestabilan politik memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan keluarga Malaysia yang berbilang agama kaum dan etnik,” katanya lagi.
Sebelum itu beliau berkata pembubaran tersebut sekali gus memulangkan semula mandat kepada rakyat.
Katanya rakyat kini sudah mempunyai hak untuk memilih kerajaan yang memberi manfaat kepada mereka.
“Diundang ditampi beras dipilih antah satu-satu.
“Dengan pengumuman ini mandat akan dipulangkan kepada rakyat, mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati selepas PRU-15,” katanya.
Jelasnya pembubaran tersebut adalah proses berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Perlembagaan sebagai pasak pemerintah sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Akhir kata dengan penuh keinsafan saya mendoakan semoga seluruh keluarga Malaysia dan negara sentiaisa dipayungi rahmat dilimpahi berkat,” kata beliau mengakhiri Perutusan Khas.
Sumber: Siaran Langsung Perutusan Khas Perdana Menteri