Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 27 tahun yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar pada 27 Februari lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Rabu atas satu pertuduhan memandu secara melulu.
Lapor Sinar Harian, tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar. Tertuduh hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat serta memakai pendakap leher dan badan.
Menurut Sinar Harian lagi, berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kenderaan Toyota Hilux didakwa memandu kenderaan terbabit secara melulu atau kelajuan berbahaya kepada orang awam, hingga menyebabkan kematian terhadap terhadap P. Milan Damani, 32, C. Tinisha, 31, Rihaan Ivaan Damani (4), dan Ishaan Ivaan Damani (3).
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Lebuhraya Sultan Iskandar pada jam 11.20 pagi, 27 Februari lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara dan denda iaitu penjara tidak kurang dari lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM 20,000 dan maksimum RM 50,000 selain hilang kelayakkan lesen memandu tidak kurang lima tahun jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan laporan Sinar Harian lagi, butir-butir sabitan juga akan diendorskan pada lesen pemandu dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan kes.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada telah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Namun begitu, peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Izzat Hasizan, merayu agar mahkamah memberikan ikat jamin pada kadar minimum kepada anak guamnnya kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
Katanya lagi, anak guamnya ini pertama kali didakwa di mahkamah dan semasa kejadian dia tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Mahkamah yang mendengar permohonan kedua-dua pihak kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin beserta lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah telah menetapkan sebutan semula kes pada 28 April depan.
Terdahulu, pada 27 Februari lalu, empat sekeluarga maut ditempat kejadian apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dinaiki dirempuh sebuah Toyota Hilux.
Sumber: Sinar harian