Seorang pemain remaja pasukan bola sepak kebangsaan Afghanistan adalah merupakan salah seorang mangsa yang jatuh dari pesawat tentera C-17 Amerika Syarikat pada Isnin, kata Pengarah Am Pendidikan Jasmani dan Sukan Afghanistan dalam satu kenyataan di media sosial pada Khamis.
“Dengan penuh kecewanya dan sedih, kami mendapat maklumat bahawa Zaki Anwari, salah seorang pemain bola sepak muda negara, telah terkorban dalam insiden yang mengerikan itu,” tulis kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa Anwari “cuba berusaha untuk meninggalkan negara ini seperti ratusan pemuda lain dari negaranya. Dia telah terjatuh dari pesawat tentera AS dan kehilangan nyawanya.”
Sehari selepas Taliban menguasai ibu kota Afghanistan pada hari Ahad, ratusan orang telah melarikan diri ke landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul pada hari Isnin, nekad untuk mencari jalan bagi melarikan diri dari negara itu.
Ketika pesawat C-17 hendak berlepas di landasan, terdapat beberapa warga Afghanistan dilihat berpaut pada gear pendaratan. Video yang menunjukkan detik-detik tersebut telah tular dan sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan maut selepas terjatuh dari pesawat tersebut.
Kenyataan Ketua Pengarah Badan Sukan Afghanistan menyatakan Anwaru adalah antara “beberapa warga Afghanistan lain yang terjatuh ketika terbang” untuk mencari “masa depan yang lebih baik di Amerika.”
“Mereka meninggal dan mati syahid,” kata kenyataan tersebut, “semoga rohnya tenang dan ingatannya dikenang.”
Kenyataan tersebut turut merangkumi doa agar Anwari “mendapat kedudukan tinggi di syurga dan berdoa kepada tuhan untuk memberikan kesabaran bagi keluarga, kenalan, dan rakan sukannya.”
Sumber: CNN