Seorang pelakon terkenal Kanada berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Agung British Columbia Vandocuver, Kanada selepas mengaku bersalah membunuh ibu kandungnya pada 2020, lapor BBC.
Difahamkan, dia mengaku bersalah atas pembunuhan pada tahap kedua semasa perbicaraan selepas didakwa dengan pembunuhan tahap pertama pada permulaannya.
Menurut pendakwa raya, dia dalam masa yang sama juga didakwa turut merancang untuk membunuh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Pelakon terbabit mengaku dia membunuh ibunya dengan menembak belakang badan wanita itu ketika bermain piano di rumah mereka di utara Vancouver dalam kejadian itu.
‘Saya bunuh ibu saya’
Dalam video yang diambil di kamera Go-pro miliknya, dia membuat pengakuan membunuh ibunya sambil merakam mayat mangsa.
“Saya menembaknya di belakang kepala.
“Seketika selepas itu dia pasti tahu itu saya,” ujarnya dalam video yang dirakam.
Selepas melakukan perbuatan keji itu, pelakon tersebut menenangkan diri dengan meminum secawan bir dan menghisap ganja selama berjam-jam.
Dia kemudiannya mengambil tiga pistol, beberapa butir peluru dan 12 koktail Molotov buatan sendiri serta membawa bekalan perkhemahan sebelum memandu ke arah kediaman Rideau Cottage milik Trudeau.
Bagaimanapun semasa memandu kira-kira 200 kilometer (km) ke arah timur untuk menuju ke bandar Hope, dia berpatah balik dan memandu ke Balai polis Vancouver untuk menyerah diri.
Suspek memberitahu salah seorang pegawai polis di sana bahawa dia telah membunuh ibunya sendiri.
Pernah rancang keganasan besar-besaran
Dalam pada itu, mahkamah dimaklumkan pelakon itu turut mempertimbangkan untuk melakukan tindakan keganasan besar-besaran di Jambatan Lions Gate Vancouver atau di Universiti Simon Fraser iaitu tempat belajarnya.
Namun difahamkan dia tidak meneruskan hasratnya itu dan menyerah diri di balai polis.
Pegawai penguatkuasa undang-undang di Vancouver memaklumkan kepada pemberita Deadline, pelakon itu telah berada dalam tahanan selama dua setengah tahun.
Dalam masa sama, dia juga telah mengambil bahagian dalam program kesihatan mental sejak penahanannya.
Semasa perbicaraan, peguamnya berhujah dia bergelut dengan kebimbangan dan kemurungan klinikal sehingga menyatakan hasrat untuk membunuh diri.
Selain itu, pelakon tersebut juga turut mempunyai rasa untuk membahayakan nyawa orang lain selama berbulan-bulan sebelum dia membunuh ibunya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya, selain dia tidak layak untuk mendapat parol selama 14 tahun pertama.
Sumber: BBC