Pelajar Malaysia Bangun Kereta Lumba ‘Putra 1’, Bakal Wakili Negara Dalam FSAEJ 2024
Pasukan pelajar Malaysia berjaya membangunkan kereta lumba ‘Putra 1’ yang akan mewakili negara dalam Pertandingan Perlumbaan Formula SAE Jepun 2024 (FSAEJ 2024) di Tokoname City, Aichi, Jepun, pada September ini.
Menariknya, kereta lumba tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh barisan pelajar dari pasukan Putra Motorsport Team (PMT), Fakulti Kejuruteraan (FK), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut UPM, pasukan pelajar itu terdiri daripada 44 pelajar bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, dengan sokongan daripada 13 penasihat teknikal yang terdiri daripada staf universiti.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, menyatakan bahawa penyertaan pelajar dalam perlumbaan antarabangsa ini merupakan platform untuk mengasah bakat pelajar dengan kemahiran terkini di peringkat global.
“Para pelajar harus sentiasa bersedia mendepani cabaran yang akan datang dan perlu berani untuk berdaya kreatif dan meneroka ilmu serta inovasi baharu agar kepakaran kekal relevan untuk diaplikasikan di industri kelak,” katanya.
Selain itu, Ketua Penasihat PMT, FK, UPM, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hairuddin, berharap pertandingan ini dapat memberi pelajar ilmu tambahan dan mengembangkan bakat mereka untuk dimanfaatkan di masa hadapan.
“Pasukan ini telah dijadikan flagship kepada fakulti ini yang memiliki kepakaran dalam bidang automotif di UPM serta telah menjayakan pelbagai aktiviti berkaitan sukan pemotoran di dalam dan luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, ketua kumpulan pelajar, Chiew Weng Lam, 23, menyatakan bahawa pembangunan kereta lumba tersebut melibatkan perancangan teliti yang diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan berkomputer.
“Kami juga melalui pelbagai siri analisis untuk memastikan kereta tersebut memenuhi standard piawaian yang ditetapkan oleh penganjur dan kesemua proses ini melibatkan kemahiran pelajar dari segi teknikal serta pengurusan,” katanya.
‘Putra 1’ dibangunkan menggunakan enjin Yamaha MT07 yang mempunyai kapasiti 689 cc, menghasilkan kuasa sebanyak 75 hp pada 9000 rpm dan daya kilas sebanyak 68 Nm pada 6500 rpm.
Rangka kereta lumba tersebut dibangunkan menggunakan keluli kromoly dengan struktur badan kereta dari gentian karbon, menjadikan berat keseluruhan kereta sekitar 320 kg.
“Proses fabrikasi kemudian dilakukan sehingga kereta selesai dibangunkan serta melibatkan pelbagai peralatan canggih antaranya mesin kimpalan canggih, mesin larik, CNC dan juga mesin pencetak 3D,” katanya lagi.
Dengan pelancaran kereta lumba tersebut, UPM menunjukkan komitmen mereka dalam memperkasa pelajar dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan teknikal yang diperlukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Semoga ini menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berinovasi.
BACA: AirAsia Perluas Operasi Ke Lapangan Terbang Subang, Perkukuh Kedudukan Syarikat Penerbangan Terbesar Di Malaysia
BACA: Maxim E-hailing Membantu Perkembangan Infrastruktur Bandar Di Malaysia
Sumber: UPM