Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia memaklumkan bahawa sebanyak 24,909 saman telah dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi, fancy dan tiada nombor pendaftaran menerusi Op Khas yang diadakan dari 1 November hingga 30 November lalu.
Pengarahnya, Datuk Wira Mat Kasim Bin Karim berkata sebanyak 49,528 saman pelbagai yang juga dikeluarkan sepanjang Op Khas tersebut.
Katanya, pemilik kenderaan motosikal adalah yang tertinggi berbanding motokar yang melakukan kesalahan nombor pendaftaran.
“Peratusannya adalah sebanyak 49.45% atau sebanyak 12,318 saman telah dikeluarkan.
“Pemilik motolori menunjukkan peratusan terendah dengan hanya 1.20% atau sebanyak 300 saman yang dikeluarkan selama 30 hari Op ini dilaksanakan,” ujarnya menerusi kenyataan media.
Tambah kenyataan itu lagi, seramai 11 orang telah ditangkap di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, tiga orang dibawah Kanun Keseksaan dan 20 orang dibawah Akta Dadah Berbahaya sepanjang 30 hari Op Khas dijalankan.
Manakala sebanyak 111 buah kenderaan pelbagai jenis telah disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan iaitu 60 buah motosikal 35 buah motokar dan lain-lain kenderaan sebanyak 16 buah.
Di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menyita kenderaan bagi tujuan mengenal pasti identiti pemandu, identiti kenderaan atau untuk memberhentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan.
“Segeralah menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi yang dibenarkan dan kepada mereka yang masih ingkar sama sekali tidak akan terlepas daripada tindakan saman dan pertuduhan di mahkamah,” kata Datuk Wira Mat Kasim.
Sumber: Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM