Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan penggunaan ABRYSVO®, vaksin pertama di Malaysia bagi pencegahan jangkitan Virus Respiratori Sinsitial (RSV).
Vaksin ini diluluskan untuk dua kumpulan paling berisiko:
Ibu hamil (minggu ke-24 hingga ke-36 kehamilan), bagi melindungi bayi sejak lahir sehingga enam bulan pertama kehidupan.
Warga emas berusia 60 tahun ke atas, bagi mengurangkan risiko penyakit saluran pernafasan bawah akibat RSV.
Keberkesanan Vaksin
Kajian menunjukkan ABRYSVO® berkesan 81.8% dalam tempoh 90 hari kelahiran dan 69.4% dalam tempoh 180 hari kelahiran untuk melindungi bayi daripada RSV.
Bagi warga emas, vaksin ini memberikan perlindungan 88.9% terhadap jangkitan RSV serius pada musim pertama selepas vaksinasi.
Apa Itu RSV?
RSV ialah virus bermusim yang mudah berjangkit dan boleh menyebabkan keradangan paru-paru serta saluran pernafasan. Ia sering disalah anggap sebagai selesema biasa, tetapi sebenarnya boleh membawa komplikasi serius, terutama kepada bayi dan warga emas yang mempunyai penyakit kronik.
Menurut data kesihatan, RSV menjadi antara punca utama kemasukan bayi bawah enam bulan dan warga emas ke hospital setiap tahun. Di Malaysia, beban jangkitan tertinggi dilaporkan dalam kalangan warga emas yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, asma dan penyakit jantung.
Ulasan Pfizer Malaysia
“ABRYSVO menandakan langkah penting dalam kesihatan awam kerana satu vaksin kini boleh melindungi bayi dan warga emas serentak,” kata Deborah Seifert, Ketua Kluster Pfizer bagi Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.
“Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia mengambil tindakan awal dengan mendapatkan maklumat daripada doktor mengenai pencegahan RSV,” tambah beliau.
Akses Vaksin
ABRYSVO® dijangka boleh didapati di hospital dan klinik seluruh negara dalam masa terdekat. Orang ramai digalakkan berbincang dengan profesional kesihatan bagi menilai kelayakan dan mendapatkan maklumat lanjut.