Sejak awal pagi semalam, dunia bola sepak bagai nak runtuh apabila Manchester United di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer diaibkan seteru tradisi mereka, Liverpool FC di ‘Theatre Of Dream’ Old Trafford dengan jaringan 5 berbalas kosong.
Pesta gol Liverpool bermula seawal minit kelima hasil jaringan Naby Keita. Pada minit ke-13 Diogo Jota meletakkan Liverpool bertambah selesa dengan jaringan gol kedua hasil hantaran lintang Alexander Arnold. Pemain sensasi Liverpool, Mo Salah tak mahu ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring apabila menyudahkan hantaran Keita dan meletakkan Liverpool selesa dengan 3 gol.
Tak cukup dengan 3-0, penghujung babak pertama Salah menambah derita 45 minit pertama United dengan jaringan keempat hasil kesilapan pertahanan United. Malam gemilang Liverpool diakhiri dengan jaringan hatrick Mo Salah hasil hantaran kemas Jordan Henderson. Namun, derita United tidak berakhir disitu, ditambah pula dengan layangan kad merah kepada Paul Pogba selepas menerjah keras kaki Keita.
United menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan di permulaan musim 2021/22 ini walaupun berjaya mendapatkan khidmat GOAT Cristiano Ronaldo dan kekalahan 5-0 ke atas Liverpool satu ‘petanda besar’ United betul-betul berada dalam keadaan bahaya. Ramai menjangkakan Solskjaer akan terus dipecat sejurus selepas kekalahan memalukan itu. Namun, masih belum ada keputusan rasmi dari Ahli Majlis Tertinggi Man.United.
Perkabaran terbaru dari jejaka Itali, Fabrizio Romano melaporkan, langkah pertama United adalah perlu menentukan hala tuju Solskjaer terlebih dahulu. Pengurusan tertinggi masih berbincang bagaimana mahu menangani krisis yang melanda kelab bersejarah itu. Calon yang paling kuat diperkatakan, Antonio Conte telah bersedia untuk berbincang dengan United tapi masih belum ada perbincangan rasmi.
Kesan paling buruk dapat dilihat semalam, sebahagian penyokong menunjukkan tanda protes apabila keluar dari stadium sejurus selepas Pogba dilayangkan kad merah. Tindakan itu menunjukkan penyokong setia United benar-benar kecewa dengan aksi pasukan kesayangan mereka, lagi-lagi dimalukan seteru utama mereka sendiri.
Sumber: Fabrizio Romano