Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan impak positif terhadap penularan COVID-19 di Malaysia. Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui kadar kes koronavirus di negara kita semakin berkurangan.
Hal ini dipersetujui peguam, Nor Zabetha yang menyifatkan pelaksanaan ini merupakan antara langkah terbaik kerajaan menghadapi krisis ini, berbeza dengan Amerika Syarikat.
Sementara itu di Amerika, respon Trump mendapat kecaman dan kritikan rakyatnya sendiri. Dalam ruang penulisan pendapat di New York Times, Trump disifatkan mengambil mudah tindakan yang sepatutnya diambil sebelum krisis itu menjadi serius.
Malah, ketika krisis itu telah diisytiharkan sebagai kecemasan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Trump dikatakan masih mengambil ringan virus itu.
“Kita berada dalam kawalan. Kita ada masalah amat sedikit di negara pada masa ini,” katanya pada 30 Januari lalu.
Kerajaan Amerika Syarikat menyekat kemasukan rakyat China dan pelancong asing yang pernah ke China ke negaranya, namun dilaporkan tidak mengenakan sekatan terhadap rakyat Amerika yang pulang dari negara itu.
Selain itu, Trump juga didakwa tidak bertindak pantas memimpin Amerika menyediakan ujian koronavirus. Biarpun kit ujian yang diimport Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) tidak memberi keputusan yang tepat, Trump dikatakan tidak bersungguh-sungguh untuk menggunakan ujian tepat dari WHO.
Malah, beliau turut dilapor mempertikaikan permintaan gabenor New York, Andrew Cuomo yang meminta penambahan sebanyak 30,000 ventilator untuk keperluan pesakit COVID-19.
Trump didakwa hanya mula ‘mengambil kisah’ mengenai virus itu apabila indeks saham turun menjunam.
Sumber:Nor Zabetha, New York Times