MU Kalah UCL: Ten Hag Tak Gentar Hilang Karier, Percaya Masih Boleh Menang
MANCHESTER — Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag berkata beliau tidak bimbang jika kariernya sebagai pengurus ‘hilang’ selepas pasukannya sekali lagi dilanda kekalahan di laman sendiri dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) kepada Galatasaray awal pagi tadi.
Dalam perlawanan tersebut, The Red Devils dua kali berada di hadapan sebelum tewas 3-2 di Old Trafford. Kekalahan itu menjadikan permulaan terburuk dalam satu musim United sejak 1986.
Kata pengurus dari Belanda itu, meskipun anak-anak buahnya gagal memberikan keputusan yang baik dalam perlawanan tersebut, beliau menegaskan seluruh pasukan sedang berusaha dalam arah yang sama.
Gambar: Darren Staples / AFP“Musim lalu, kami cemerlang, hebat. Itu lebih daripada apa yang kami jangkakan.
“Kami tahu dalam projek ini mengambil masa untuk mempunyai jurang yang sama. Pada tempoh ini, kami melalui waktu yang sukar seperti yang dilhat oleh orang. Tetapi, kami keluar bersama, berjuang bersama, berpegang teguh dan sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain.
“Saya, pemilik, pasukan dan semua akan berjuang bersama,” katanya sewaktu ditanya mengenai perkara itu.
Tegasnya, pasukannya kini sedang berusaha mempamerkan prestasi yang lebih baik dan sedang mencari jalan penyelesaian daripada terus dilanda badi kekalahan.
“Ini bukan kami (United), kami tahu kami perlu melakukan dengan lebih dan kami akan mencari jalan keluar bersama.
“Jika saya beri penjelasan, anda akan melihatnya sebagai ‘tiada alasan’. Kami tidak boleh melakukan kesilapan yang dilakukan sekarang. Kami perlu melakukan lebih baik, ia adalah fakta yang mudah dan kami perlu menang setiap perlawanan yang dimainkan,” tambah Ten Hag.
Gambar: Darren Staples / AFPDalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford awal pagi tadi, The Red Devils turun bagi misi mencari kemenangan pertama mereka dalam saingan UCL peringkat kumpulan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan United terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang muda, Rasmus Hojlund pada minit ke-17.
Gambar: Darren Staples / AFPBagaimanapun, pelawat berjaya menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain sayap United, Wilfried Zaha enam minit kemudian.
Pada minit ke-67, Hojlund sekali lagi membuktikan ketajamannya menerusi larian solo yang berjaya meletakkan tuan rumah berkelebihan 2-1 di hadapan akibat kesilapan pertahanan lawan.
Namun Galatasaray tidak menunggu lama apabila sekali lagi memadam kelebihan itu dengan gol Kerem Akturkoglu empat minit kemudian.
Pada penghujung perlawanan, kesilapan hantaran Andre Onana memakan diri United apabila Casemiro dilayangkan kad kuning kedua dan pelawat dihadiahkan sepakan penalti.
Gambar: AFPBagaimanapun, sepakan penalti itu gagal disempurnakan oleh Mauro Icardi apabila ia tersasar di kanan pintu gol Onana.
Pun begitu, Icardi menebus kekecewaannya dengan satu gol chip menewaskan bekas penjaga gol Inter Milan terbabit sekaligus meranapkan impian United di laman sendiri.
Selepas dua perlawanan dalam Kumpulan A UCL, United kini masih menghuni tangga terakhir dengan tiada sebarang mata, manakala Galatasaray ditangga kedua kumpulan mengumpul empat mata selepas satu kemenangan dan satu seri.
United dijangka menentang kelab Copenhagen pada 25 Oktober ini di Old Trafford.
Sumber: Sky Sport