PUTRAJAYA, 9 Okt – Kerajaan mengeluarkan tiga tindakan baharu yang dikuatkuasakan di kawasan persisiran pantai di Zon Eksklusif Ekonomi (ESSZone) di Pantai Timur Sabah.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia berikutan sebagai usaha menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Pergerakan keluar bot-bot kecil dari pulau-pulau di perairan ESSZone ke tanah besar termasuk pergerakan bot-bot di kawasan persisiran pantai bagi tujuan membeli makanan dan keperluan asas hanya dibenarkan mulai jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja.
“Selain itu, bagi bot-bot nelayan dan bot membawa ikan di perairan ESSZone yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan hanya dibenarkan dari 6 pagi hingga 6 petang di jeti-jeti yang dibenarkan sahaja,” katanya dalam sidang video perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Bagaimanapun jelas Ismail, kebenaran tersebut hanya tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh ketua polis daerah berkenaan.
Dalam masa sama, bagi semua kapal bukan konvensional dari Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan zon Sabah bagi tujuan butter trip dan transhipment adalah tidak dibenarkan.
Tindakan-tindakan baharu ini berkuatkuasa mulai tengah malam esok.
Sumber: Kementerian Pertahanan Malaysia