Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan yang dijangka akan berlaku di negeri Sabah sehingga 10 Mac.
Menurut MetMalaysia, satu sistem cuaca tekanan rendah sedang menghampiri Sabah dan dijangka bergerak ke arah barat.
Keadaan tersebut menyebabkan peningkatan kelembapan dan berpotensi membawa hujan berterusan di negeri itu sehingga 10 Mac.
“Pada masa yang sama hujan dan ribut petir pula dijangka berlaku di kebanyakan tempat di barat Semenanjung pada sebelah petang hingga awal malam,” kata MetMalaysia dalam satu kenyataan.
Terdahulu, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) untuk negeri Sabah berkuat kuasa sehingga 10 Mac 2022 dan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora (kategori pertama dan kedua) untuk kawasan perkapalan di Laut China Selatan berkuatkuasa pada 8 Mac hingga 11 Mac.
Susulan cuaca buruk itu, orang awam dinasihatkan untuk berhati-hati serta sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta boleh memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Sumber: MetMalaysia