METMalaysia Keluar Amaran Hujan Lebat Di 4 Negeri, 1 Wilayah Hingga Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri dan satu Wilayah hingga jam 5 petang ini.
Amaran berkenaan dikeluarkan untuk seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan, manakala hujan lebat dan petir turut diramal berlaku di Pahang yang melibatkan daerah Rompin sahaja.
METMalaysia turut menjangkakan cuaca buruk yang sama akan melanda Johor melibatkan daerah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Beralih ke Sarawak, antara daerah yang terlibat dalam amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang adalah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri (Beluru dan Marudi) dan Limbang (Limbang).
Sementara itu, Pedalaman (Kuala Penyu) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) di Sabah antara kawasan yang terlibat dalam amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam,” ujar hantaran itu.
METMalaysia turut memaklumkan amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Sumber: Malaysian Meteorological Department via Facebook