Apa itu faraid? Menurut daripada laman web mahkamah syariah Kuala Lumpur, faraid dari istilah syarak adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang islam yang telah yang telah di tetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak.
Pembahagian harta pusaka dilihat sebagai penting untuk mengelakkan perbalahan atau apa-apa masalah di masa hadapan. Tujuan pembahagian harta juga perlu dibuat bagi harta yang ditinggalkan itu dapat dituntut oleh waris yang telah termaktub untuk mewarisinya.
Jika ianya tidak dibuat, pelbagai masalah boleh terjadi di masa akan datang. Antara masalah atau situasi yang dapat dilihat, boleh diambil iktibar melalui perkongsian yang dikongsi oleh seorang peguam syarie yang bernama Wan Rosmawati ini berdasarkan daripada pengalamannya dalam mengendalikan kes menuntut hak di mahkamah. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:
Dah lama rasa tak menulis, hari ni rasa nak berkongsi cerita benar. Ceritanya begini:
Sekitar awal tahun 2016 yang lalu, saya telah menerima satu kes faraid, bagi para peguam kes faraid satu lapis ni mudah sahaja.
Dalam kes saya ini, semasa kematian si mati, si mati hanya meninggalkan waris seorang saudara lelaki seibu sebapa dan anak perempuan berumur 8 tahun iaitu bawah umur mumayyiz.
Permohonan difailkan oleh ibu kepada anak si mati. Ibu bertindak sebagai Pemohon yang mana Pemohon telah bercerai dengan Si Mati sebelum kematian Si Mati menyebabkan Pemohon bukan lagi waris.
Semasa permohonan difailkan, kami telah beberapa kali memanggil waris iaitu saudara lelaki seibu sebapa kepada si Mati(beliau seorang guru), pelbagai cara kami bagi untuk memudahkan beliau dan sekali gus memberikan kerjasama bagi memudahkan urusan faraid anak si mati iaitu anak saudara beliau.
Jawapan yang diterima dari beliau mengecewakan kami iaitu ”Maaf puan, saya tak dapat hadir ke mahkamah sebab kerja, lagipun saya tinggal jauh, tak apalah saya tak nak harta adik saya (si mati), boleh serahkan pada anak saudara saya je”.
Kerana jawapan tersebut, saya berhujah depan hakim dan Alhamdulillah untuk tidak menyulitkan urusan anak si mati yang masih kecil. Mahkamah benarkan permohonan anak tadi dan membahagikan harta si mati. Ketika itu anak dan saudara lelaki seibu sebapa si mati tadi mewarisi bahagian yang sama atau 50:50.
Mahkamah telah menghubungi saudara seibu sebapa si mati tadi untuk mendapatkan maklumat mengenai no kad pengenalan bagi penyempurnaan Sijil Faraid. Setelah mengetahui jumlah yang bakal diperoleh, TIBA-TIBA “tanpa disedari” saudara seibu sebapa si mati tadi /pakcik kandung anak tersebut mengatakan dia nak bahagian dia kerana banyak perkara yang perlu dilakukan.
Jawapan beliau tidak mengejutkan saya tetapi mengejutkan ibu kepada anak tersebut. Memang suatu yang dah dijangkakan “endingnya“. Jarang sekali ada waris nak melepaskan hak dalam kes faraid ini.
Mengambil bahagian itu tidak salah kerana sememangnya itu hak yang diberikan TETAPI ingat! Jangan hak di ambil sedangkan amanah yang hadir bersama hak itu dibuang ketepi.
Jadi beringatlah andai kita tidak mempunyai anak keturunan yang boleh menjadi asobah, uruskan lah harta kita sewajarnya supaya hak anak kecil kita terbela.
Bukanlah niat untuk menuduh bapa saudara tidak menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga atau wali kepada anak si mati sebagaimana aturan hukum syarak, namun kerakusan dan ketamakan sebahagian antara kita pada hari ini menolak tanggungjawab yang hadir bersama bahagian faraid yang diterima.
Dalam kes faraid saya yang lain, saya mewakili Pemohon memfailkan pembahagian faraid bagi pihak anak-anak saudara beliau iaitu anak kepada abang kandung beliau yang telah meninggal dunia dalam kes ini. Pemohon adalah adik lelaki kepada si mati. Kes ini berjalan di Mahkamah Tinggi Syariah KL.
Waris yang ditinggalkan oleh si mati ketika itu ialah dua orang anak perempuan dan bapa si mati. Setelah siasatan dibuat, mahkamah memutuskan waris yang berhak ialah bapa dan dua anak perempuan si mati. Pemohon terhijab kerana wujudnya bapa si mati.
Dalam kes tersebut, Pemohon tidak melenting sama sekali bahkan, anak-anak si mati juga berada dalam jagaan Pemohon. Pemohon bertindak demikian kerana wasiat yang diberikan oleh si mati. Mungkin beliau lah satu-satunya orang yang dipercayai oleh si mati.
Saya kagum dengan sikap terpuji Pemohon kerana beliau menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga kepada anak-anak tersebut tanpa mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan semata-mata. Saya dapat lihat keakraban anak-anak si mati dengan beliau. Saya percaya kanak-kanak zahirkan apa yang mereka rasa.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua.
Diari Peguam Syarie,
TETUAN WAN ROSMAWATI & Assoc
26/09/2019
Sumber: Wan Rosmawati & Associates