KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan terus menyantuni masyarakat sekitar termasuk komuniti bukan Islam yang memerlukan dan terkesan akibat penularan COVID-19.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata penyampaian sumbangan berkenaan tidak menggunakan peruntukan jabatan atau kerajaan sebaliknya daripada tabung masjid dan rakan strategik.
“Kita mahu sampaikan mesej apabila masjid ditutup tidaklah bermaksud ia tidak berfungsi, sebaliknya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini masjid masih berfungsi membantu kumpulan sasar seperti mereka yang terputus bekalan.
“Ini termasuklah membantu golongan bukan Islam sebagaimana dianjurkan Rasulullah SAW, terbuka untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan bagi komuniti bukan Islam di masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan hari ini.
Pada majlis itu, seramai 58 orang bukan Islam dari kawasan kejiranan sekitar masjid Ar-Rahimah menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepung, susu pekat dan barangan lain.
Untuk rekod, sejumlah RM1.2 juta telah disumbangkan melalui masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan kepada 19,523 penerima sejak arahan PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Yin Chung, 56, berkata pendapatan beliau sebagai pemandu Grab sedikit terjejas sejak sebulan lalu kerana tidak lagi memandu bagi mengelak risiko dijangkiti wabak itu.
“Dalam tempoh ini, saya hanya guna sedikit simpanan wang yang masih ada dan perlu berjimat cermat. Bantuan kepada orang bukan Islam satu langkah terpuji, membantu menukar persepsi negatif terhadap Islam,” katanya.
Sumber: BERNAMA