“Manusia Pun Takut,” Usaha Kreatif ‘Orang-Orang’ Buatan Bapa Halau Haiwan Buat Ramai Ketawa
Manusia memiliki kreativiti yang kadang-kadang sukar difahami. Keunikan kreativiti manusia terletak pada kemampuannya mengubah perkara biasa menjadi sesuatu yang menarik.
Kegagalan berulang kali juga merupakan antara dorongan manusia untuk terus mencuba dan mencari idea-idea baharu.
Bagi mereka yang tinggal di rumah dengan halaman sendiri yang dihiasi pokok-pokok bunga dan tanaman kecil, cabarannya kadang-kadang datang dari haiwan liar seperti tupai dan monyet yang kerap menganggu tanaman.
Keadaan ini membuatkan pemilik rumah sentiasa perlu mencari cara yang lebih kreatif dan berkesan bagi melindungi tanaman mereka.
Bapa lelaki ini buat ‘orang-orang’ unik untuk halau haiwan liar
Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang dikongsi seorang lelaki memaparkan ‘orang-orang’ tanpa kepala berjubah putih yang bukan sahaja mencuri perhatian, malah membuat netizen terhibur dengan rupanya yang ‘lain macam’.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @seorang_meran di TikTok, ‘orang-orang’ tersebut dilihat tidak berkepala dan tergantung di dalam bangsal.
Pemilik video menyatakan bahawa dia sendiri terkejut apabila melihatnya, kerana niat ayahnya hanyalah untuk menghalau tupai dan monyet yang sering merosakkan tanaman.
“Actually, dia nak halau tupai dan monyet je. Before this dia letak baju tapi tak jalan,” jelasnya.
Difahamkan, sebelum ini ayahnya hanya menggantung pakaian lama untuk menghalau haiwan tersebut, namun cara itu tidak berkesan kerana haiwan di kawasan rumah mereka seolah-olah cukup bijak untuk membezakan.
“IQ tupai dan burung dekat rumah ni tinggi sikit. Dia boleh beza mana orang, mana baju,” ujarnya.
Apa yang lebih menarik lagi apabila cara ini berkesan dan berjaya menakutkan haiwan tersebut.
Menurut @seorang_meran, orang-orang itu dibuat menggunakan patung mannequin seperti yang biasa digunakan untuk mempamerkan pakaian di kedai.
“Mana dia dapat patung tu? hanya dia dan tuhan yang tau,” tambahnya lagi.
Video tersebut mencecah 36 ribu tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberi pelbagai reaksi terhadap video tersebut.
“Rasanya ini ayah abang nak halau abang sekali,” komen seorang wargamaya.
“Hahaha dah lah rumah tepi jalan, dah boleh bayang orang terkejut macam mana,” komen seorang lagi wargamaya.
BACA: “Comel Betul,” Gelagat Spontan Dua Beranak Lukis Bentuk Hati Untuk Ibu Buat Ramai Cair
Sumber: @seorang_meran