Manulife Malaysia dan Roots & Shoots Bersatu Tingkatkan Potensi Komuniti Wang Kelian
Kuala Lumpur – Manulife Malaysia mengumumkan kerjasama strategik selama 3 tahun bersama Roots & Shoots Malaysia bagi memanfaatkan potensi ekosistem Wang Kelian, Perlis. Selaras dengan inisiatif yang diasaskan oleh pengasas Roots & Shoots, Dr. Jane Goodall, sinergi ini melambangkan komitmen teguh ‘Manulife Impact Agenda’ yang memberi tumpuan kepada memacu peluang ekonomi yang inklusif, memperkasakan kesihatan dan kesejahteraan yang berterusan dan mempercepatkan peralihan ke arah masa depan yang lebih lestari.
Fokus utama tahun pertama kerjasama ini adalah memulihkan semula laluan ‘Denai Warisan’ sepanjang 10 kilometer dengan menjadikannya mercu tanda ekopelancongan serta pusat pendidikan alam sekitar yang berimpak tinggi. Dengan sokongan Manulife, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk kajian biodiversiti yang mendalam, pemulihan laluan secara menyeluruh, serta pembangunan zon khas untuk flora dan fauna.
Selain melestarikan persekitaraan semulajadi Wang Kelian, denai tersebut juga akan dilengkapi papan tanda informasi yang strategik, mencipta pengalaman yang berpengetahuan dan bermakna untuk pelawat sambil mengukuhkan nilai ekopelancongan di rantau ini.
Bagi memperkukuh peluang ekonomi inklusif pula, kerjasama ini turut membawakan program pembangunan kapasiti yang komprehensif. Ini termasuk latihan peningkatan kemahiran seperti bengkel pemeliharaan dan pemuliharaan denai, kemahiran pemandu pelancong, pengetahuan perniagaan, serta sesi celik kewangan yang direka khas untuk komuniti tempatan.
Bagi memanfaatkan potensi ekopelancongan sebagai sumber pendapatan yang mampan, sukarelawan Manulife akan memainkan peranan penting dalam mengendalikan sesi celik kewangan ini dalam membantu komuniti setempat menjadi lebih berdaya saing.
“Manulife Malaysia dan Roots & Shoots Malaysia berkongsi satu visi yang sama dalam mempertingkatkan potensi komuniti tempatan sambil memelihara warisan alam semula jadi kita,” kata Vibha Coburn, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manulife Holdings Berhad.
“Kerjasama ini bukan sahaja menghubungkan pelanggan, tenaga kerja dan penasihat kami kepada usaha pemuliharaan ini, tetapi Program Pemuliharaan Alam Sekitar dan Biodiversiti Pertama Manulife Malaysia ini juga menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi tempatan. Dengan mengadaptasikan modul celik kewangan Manulife mengikut keperluan dan pemahaman komuniti setempat, kami juga menyediakan ruang bagi tenaga kerja dan penasihat kami untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam membangunkan komuniti di Wang Kelian.”

Perlis, negeri terkecil di Malaysia yang terletak di utara tanah air, menawarkan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti yang luar biasa, namun masih berdepan dengan cabaran dari aspek pembangunan ekonomi.
Di tengah-tengah keindahan ini, terletaknya Wang Kelian, sebuah komuniti kecil dengan populasi sekitar 250 orang, yang menawarkan potensi besar untuk dimajukan sebagai destinasi ekopelancongan mampan. Dengan lebih daripada 70 spesies mamalia, 200 spesies burung, dan 35 spesies reptilia — termasuk spesies ikonik seperti Beruk Kentoi yang terkenal di kalangan penduduk tempatan — Wang Kelian berpotensi menjadi hab bagi ekopelancongan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Lanjutan dari projek “Wang Kelian, Perlis – The Forgotten Valley” yang telah dimulakan bersama Think City dan The Habitat Foundation, kini dengan sokongan tambahan daripada Manulife, kami teruja untuk melangkah ke fasa yang seterusnya. Selain membuka akses masyarakat umum kepada aset ekopelancongan seperti jejak denai ini, kami juga tekad untuk meningkatkan kemahiran komuniti tempatan agar mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan menerusi ekopelancongan,” kata TP Lim, Presiden Roots & Shoots Malaysia.
“Pendekatan holistik dalam pemuliharaan yang diterapkan oleh Institusi Jane Goodall di enam negara Afrika membuktikan bahawa usaha melindungi alam sekitar dan biodiversiti tidak boleh dipisahkan daripada aspek kesejahteraan komuniti penduduk di sekitarnya. Pendekatan ini menekankan akses kepada peluang pendapatan mampan bagi penduduk setempat, secara langsung memastikan keseimbangan antara keperluan manusia dan alam.
Projek ini menjadi bukti nyata bahawa kerjasama erat antara kerajaan, komuniti, sektor korporat, dan NGO mampu mencipta impak yang positif. Kami juga berterima kasih kepada Jabatan Perhutanan Perlis di atas galakan dan sokongan mereka yang tidak pernah putus. Inisiatif ini menjadi inspirasi untuk membina dunia yang lebih baik, bukan hanya untuk manusia tetapi juga untuk alam semula jadi dan hidupan liar,” tambah beliau lagi.

Ditubuhkan oleh Dr. Jane Goodall pada tahun 1991, Roots & Shoots merupakan platform belia yang memfokus kepada usaha melindungi alam sekitar yang komprehensif. Misi utama organisasi ini adalah untuk memperkasakan golongan muda dalam menangani cabaran yang dihadapi alam sekitar, haiwan, dan komuniti di Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, Roots & Shoots Malaysia telah berkembang menjadi gerakan mantap yang melibatkan 347 sukarelawan dan 3,697 ahli yang aktif. Kerjasama dengan Manulife Malaysia ini mencerminkan keserasian visi dan komitmen bersama untuk melaksanakan projek inovatif dan berimpak tinggi, memacu masa depan yang lebih mampan untuk semua pihak berkepentingan.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif impak agenda dan kelestarian Manulife Malaysia, sila layari https://www.manulife.com.my/sustainability .