Sejak semalam, kecoh di media sosial mengenai satu rakaman salah seorang graduan yang melancarkan protes ketika Majlis Istiadat Konvokesyen dijalankan. Graduan tersebut yang menayangkan plakad yang tertera frasa ‘Tolak Rasis” dan “Undur VC” dianggap sebagai tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol dan kelancarannya.
Pelbagai kontrovesi dan spekulasi timbul ekoran tindakan graduan tersebut. Selain itu, nama baik Universiti Malaya juga turut terjejas kerana ianya telah tersebar di seluruh negara. Terkesan dengan kejadian itu, pihak Universiti Malaya telah mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu.
Menerusi kenyataan media tersebut, pihak Universiti Malaya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang jelas tidak menghormati majlis penuh protokol itu. Tambah mereka, UM sememangnya mendukung prinsip kebebasan bersuara, namun tindakan graduan tersebut adalah tidak kena pada masa dan tempatnya.
Selain itu, pihak UM juga telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan. Segala tindakan dan siasatan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengadili tindakan graduan berkenaan.
Sumber: University of Malaya