Malaysia Di Hadapan Dalam Rangka Hala Tuju Global Perlindungan Sosial Masa Depan
Malaysia berada di barisan hadapan dalam dialog global bagi usaha membentuk hala tuju ke arah sistem perlindungan sosial yang inklusif, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Visi ini menjadi tumpuan apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah World Social Security Forum (WSSF) 2025, yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Forum lima hari yang berlangsung sehingga 3 Oktober itu menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perbincangan antarabangsa mengenai perlindungan sosial. Ia dianjurkan oleh International Social Security Association (ISSA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Tahun ini, WSSF 2025 mengangkat tema “Shaping Social Security for a World in Transition”. Lebih 2,000 peserta hadir, mewakili 253 institusi dari 133 negara, termasuk menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Bank Dunia. Forum ini sekali gus menjadi himpunan terbesar dunia mengenai perlindungan sosial.
Pembentangan Kebangsaan mengenai Perlindungan Sosial Malaysia mengetengahkan reformasi negara dalam memperluas perlindungan, mengukuhkan kelestarian kewangan dan integrasi teknologi digital.
Pendekatan Malaysia kini semakin diiktiraf sebagai model keseimbangan antara keutamaan domestik dengan cabaran global, daripada kebangkitan ekonomi gig serta populasi menua sehinggalah keperluan institusi yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
Sesi pleno petang bertajuk “Global Developments and Trends in Social Security” menghimpunkan pakar antarabangsa bagi menilai bagaimana perubahan demografi, pendigitalan dan transformasi pasaran buruh yang membentuk semula sistem perlindungan sosial dunia.

Perbincangan turut menekankan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem yang tangkas dan berdaya tahan dalam menangani perubahan iklim, ekonomi tidak formal dan gangguan teknologi yang pesat.
Pandangan-pandangan ini akan menjadi kerangka perbincangan sepanjang minggu, seterusnya membimbing usaha kolektif ke arah agenda perlindungan sosial global yang siaga untuk masa depan.
Mengulas mengenai signifikan forum ini, Presiden ISSA, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata Kuala Lumpur bakal menjadi nadi lahirnya ikrar baharu dalam memeta hala tuju keselamatan sosial global untuk tahun akan datang.
“Kita akan berdebat, mempersoal dan mencabar, pada masa sama belajar daripada inovasi pihak lain serta berkongsi pengalaman sendiri. Paling penting, kita akan mencari titik persamaan kerana tugas di hadapan kita lebih besar daripada mana-mana institusi atau negara.
“Saya menjangka forum ini akan mencetus komitmen untuk melindungi mereka yang masih tercicir, bersiap siaga terhadap risiko tersembunyi, dan segera bertindak.” Setiap hari kita berlengah, lebih ramai terjatuh ke jurang perlindungan.
“Sejumlah besar daripada dua bilion penduduk dunia yang masih tidak dilindungi terus terdedah kepada kehilangan sumber pendapatan, kemerosotan ekonomi isi rumah dan kesihatan yang rapuh,” katanya.
WSSF 2025 akan diteruskan dengan sesi mengenai transformasi dan inovasi dalam pengurusan keselamatan sosial, bengkel interaktif serta pameran pendekatan baharu.
Kemuncak forum ini akan berlangsung pada Jumaat menerusi World Social Security Summit, di mana barisan pemimpin akan menetapkan hala tuju bagi dekad akan datang ke arah sistem perlindungan sosial yang inklusif dan sedia masa depan di peringkat global