Majlis Perundingan Belia Negara Memperkukuh Agenda Pembangunan Belia Malaysia
SELANGOR, 3 Dis — YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) bagi Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026 yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
MPBN yang diperuntukkan di bawah Seksyen 35, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 , merupakan sebuah badan perunding yang berperanan membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia.
MPBN juga berfungsi sebagai platform intelektual yang menghubungkan pemimpin pertubuhan belia di peringkat negeri dan kebangsaan dengan wakil Kementerian serta agensi Persekutuan, sekali gus memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan program pembangunan belia secara lebih strategik.
Tujuan penganjuran MPBN adalah menyediakan platform perbincangan yang konstruktif dan inklusif berkaitan pembangunan belia, dan menyampaikan suara serta pandangan golongan belia ke peringkat tertinggi Kerajaan.
Selain itu, ia bertujuan memperkasakan pembangunan belia dari pelbagai perspektif agar memberi impak positif kepada negara dan memperkukuh hubungan antara pertubuhan belia dan kerajaan dalam usaha melahirkan belia yang dinamik serta berdaya saing.
Tiga usul pembangunan belia
Sebanyak tiga usul berkaitan pembangunan belia telah dibahaskan oleh para perwakilan sepanjang persidangan berlangsung.
Pertama, sidang MPBN ini mengusulkan kerajaan membangunkan satu mekanisme aduan menyeluruh berteraskan kecerdasan buatan (AI) bagi melindungi belia bersekolah hingga belia bekerja merangkumi keselamatan, penderaan, eksploitasi dan salah guna kuasa melalui sistem pelaporan berintegriti.
Kedua, sidang MPBN ini mengusulkan supaya kerajaan memperkasa ekosistem pelapis kepimpinan dan sosioekonomi belia secara bersepadu dengan mengintegrasikan semua inisiatif sedia ada di peringkat kementerian, agensi dan NGO bagi menjamin masa depan belia yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
Ketiga, sidang MPBN ini menggesa kerajaan mewujudkan intervensi awal terhadap risiko masalah sosial dan kesihatan dalam kalangan belia yang merangkumi komponen pencegahan awal, pendidikan dan pemantauan yang efektif.
Pelaksanaan MPBN ini turut mencerminkan hasrat dan komitmen Kerajaan MADANI dalam penyediaan ruang yang lebih inklusif untuk belia menyuarakan pandangan terhadap isu serta cabaran semasa.
Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keterangkuman dan penglibatan aktif antara belia dan Kerajaan.
Usaha ini juga bertujuan memperkasakan peranan belia sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera, seiring dengan matlamat Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).
KBS memahami kerisauan MBM tentang individu berumur 30 hingga 40 tahun selepas penguatkuasaan AKTA A1602.
Satu Kertas Kabinet telah dipertimbangkan pada 28 November 2025 (Jumaat) dan Kabinet bersetuju agar semua kementerian, jabatan dan agensi terus mengekalkan sokongan dan bantuan kepada rakyat dalam kelompok umur ini.
Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah diberikan mandat menyelaraskan pelaksanaan dan pemantauan sokongan dan bantuan ini.
MPBN kali ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS; YBrs. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN); Encik Mohd Izzat Afifi Abd Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM); serta EXCO dan wakil Kerajaan Negeri.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai penganjuran MPBN, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) boleh dihubungi di talian 03-8871 3293 atau melalui e-mel jbsn@kbs.gov.my.