Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang telah disempurnakan di Kementerian Alam Sekitar dan Air, Putrajaya pada 26 April 2022. Perjanjian tambahan ini dimeterai bagi membolehkan Perjanjian Utama yang disempurnakan di Kuantan, Pahang yang telah diadakan pada 23 Disember 2020 dapat dikuatkuasa. Majlis ini telah disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang dan YB Dato’ Mansor bin Haji Othman, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air.
Perjanjian Tambahan ini melibatkan empat pihak iaitu YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi mewakili Kerajaan Persekutuan dan YB Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang mewakili Kerajaan Negeri Pahang. Manakala, YBrs. Encik Abdul Hadi Ali, Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan YBrs. Encik Saiful Zaini Mohd Bahari, Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Dengan termeterainya perjanjian tambahan ini, pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang boleh dikuatkuasakan. Antara intipati utama Perjanjian Tambahan ialah pemberian moratorium kepada PAIP bermula daripada kenaikan tarif air dan menetapkan tempoh pinjaman selama 45 tahun diberikan kepada PAAB, termasuk tempoh 5 tahun penangguhan pinjaman berkuatkuasa mulai tarikh kenaikan tarif air di Negeri Pahang dilaksanakan.
Penyempurnaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Pahang tidak memberi implikasi kewangan secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan dan masih berpegang kepada persetujuan pelaksanaan hapus kira pinjaman bekalan air luar bandar kepada negeri Pahang yang berjumlah RM1 bilion.
Selain itu, PAIP juga mendapat akses kepada kemudahan pinjaman PAAB bagi pembangunan aset-aset air di negeri Pahang berdasarkan pendekatan build and lease pada kadar kompetitif berbanding pembiayaan komersial. Ia membolehkan PAIP memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan loji rawatan air baharu, naik taraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip serta sistem agihan.