Shah Alam, 9 November – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan kepada semua umat Islam di Negeri Selangor yang ingin ke luar negara terutamanya yang melibatkan pelaksanaan ibadah umrah perlu mematuhi perundangan yang telah ditetapkan negara tuan rumah agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini khususnya yang melibatkan pelanggaran tempoh visa.
Perkara ini ditegaskan susulan kenyataan media bertarikh 4 November 2022 oleh Kementerian Luar Negeri, Malaysia berkaitan urusan membawa pulang jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi yang juga melibatkan jemaah dari Negeri Selangor.
Jemaah dari Negeri Selangor itu telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi 7 November 2022 yang merupakan ketibaan kedua melibatkan jemaah umrah yang terkandas.
Menurut salah seorang jemaah dari Negeri Selangor yang ditemui di lapangan terbang semalam, mereka merasa sangat bersyukur kerana selamat tiba di tanah air dengan bantuan pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, kami merasa sangat bersyukur apabila dapat kembali ke tanah air, memandangkan kami telah putus bekalan dan perbelanjaan di sana,” ujar salah seorang daripada dua jemaah dari Negeri Selangor yang namanya dirahsiakan.
Mereka juga mengingatkan kepada umat Islam yang merancang untuk mengerjakan umrah supaya lebih berhati-hati agar perkara yang menimpa mereka tidak berlaku kepada orang lain.
Kenyataan oleh : Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor.