Emas kedua buat Malaysia. Ziyad Zolkefli pecah rekod dunia lagi di pentas Paralimpik Tokyo 2020 dengan mencatat balingan 17.94 meter dalam acara lontar peluru dan mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Rio 2016.
Ziyad bukan sahaja memecahkan rekod dunia tetapi telah memecahkan rekod kebangsaan atlet normal dan memecah rekod Sukan Sea.
Ketinggalan jauh di belakang Ziyad, atlet Ukrain, Maksym Koval terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Koval menamatkan saingan dengan lontaran 17.34m, diikuti rakan senegara, Oleksandr Yarovyi di tempat ketiga dengan perbezaan 0.04m.
Dalam sesi temu bual sebelumnya, Ziyad menyatakan hasrat menghadiahkan emas buat negara sempena Hari Kebangsaan hari ini.
Ziyad pernah mengharumkan nama Malaysia di Paralimpik Rio 2016 apabila berjaya mencatat rekod dunia dengan jarak lontaran 16.84m.
Jaguh lontar peluru negara ini terakhir memperbaharui rekodnya sendiri dengan lontaran padu sejauh 17.29 meter pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017.
Pingat emas kedua Malaysia yang dihadiahkan Ziyad hari ini cukup bermakna buat negara. Sebelumnya, Malaysia meraih pingat pertama di Paralimpik Tokyo 2020 hasil kejayaan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara angkat berat kategori 72kg.
Tahniah diucapkan buat kedua wira negara ini.