Loji Penapisan Minyak Pertamina Meletup, Rumah & Masjid Di Sekitar Turut Terjejas
Loji penapisan minyak PT Pertamina di Dumai, Indonesia dilapor meletup sehingga mengakibatkan rumah dan masjid di sekelilingnya terjejas dalam satu kejadian pada Sabtu.
Seperti yang dilapor Detik.com, Ketua Polis Dumain, AKBP Nurhadi Ismanto mengesahkan mengenai kejadian itu ketika berada di sana.
“Ya, dapur kilang minyak Pertamina RU II Dumai meletup. Saya berada di tempat kejadian,” katanya semasa ditemu bual.
Letupan di loji itu juga menggegarkan rumah orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut.
Dalam pada itu, gegaran yang kuat itu turut mengakibatkan siling masjid runtuh semasa letupan itu berlaku.
Manakala, satu rakaman klip video memaparkan kejadian dirakam oleh penduduk di sana.
Kredit: Detik.comVideo tersebut menunjukkan keadaan masjid selepas kejadian letupan yang menggegarkan penduduk di sana.
“Kilang meletup,” kata perakam video sambil menunjukkan siling bumbung masjid runtuh.
Sementara itu, penduduk di lokasi yang dikenali sebagai Rahmat mengesahkan terdapat getaran kuat ketika letupan berlaku.
Kejadian itu membuatkan warga penduduk berasa panik hingga ada yang berlari keluar daripada rumah.
“Rumah penduduk telah rosak, terutamanya yang berhampiran dengan kilang tersebut.
“Siling masjid juga runtuh akibat letupan,” kata Rahmat.
BACA: Tempat ‘Favourite’ Mak-mak Beli Perabot, CEO Jawab Kenapa Jenama Terkenal Courts Mammoth Tukar Nama Jadi COURTS Malaysia
Lima pekerja kilang cedera
Dalam pada itu, CNN melaporkan sekurang-kurangnya lima pekerja yang cedera dihantar ke hospital akibat letupan di loji penapisan minyak itu.
Pengurus Refinery Comm Rail & CSR Pertamina di Dumai, Agustiawan berkata lima orang tersebut dibawa ke Hospital Pertamina Dumai.
“Punca kejadian masih belum diketahui. Terdapat lima orang tercedera ketika berada di dalam bilik operator.
“Kini dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Difahamkan, mereka berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di hospital.
Menurutnya, pasukan kecemasan Pertamina telah mengendalikan kejadian itu dan kebakaran tersebut telah dipadamkan.
Jelas Agustiawan keadaan menjadi terkawal selepas pasukan kecemasan tiba di tempat itu dan beliau turut meminta penduduk untuk bertenang.
Katanya, Pertamina akan bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku.
“Api sudah padam, kami minta penduduk bertenang. Pertamina bertanggungjawab atas kesan letupan itu. Kami minta kerjasama anda,” ujarnya.
Sumber: Detik.com
BACA JUGA: Lombong Arang Batu Meletup, 11 Orang Terkorban Setakat Ini