
Lelaki Terkejut, iPhone Miliknya Yang Hilang Dalam Sungai Berjaya Ditemui Semula & Masih Berfungsi
Seorang lelaki terkejut selepas telefon pintarnya yang hilang di dasar sungai di England 10 bulan lalu telah ditemui dan masih berfungsi.
Pada awal bulan ini, Miguel Pacheco telah berkanu bersama keluarganya di River Wye, berdekatan Cinderford, Gloucestershire. Semasa berkanu, beliau telah ternampak satu objek berwarna biru di dalam sungai tersebut.
Objek biru yang dijumpai itu merupakan sebuah telefon pintar iPhone yang telah diselaputi lumpur dan dimasuki air. Beliau tidak membuang telefon pintar itu sebaliknya memilih untuk membawa pulang dan melihat keadaan telefon pintar itu sama ada masih berfungsi atau pun sebaliknya.
Peluang telefon pintar iPhone itu untuk masih berfungsi adalah tipis berdasarkan keadaan telefonnya ketika ia ditemui. Namun begitu, selepas menggunakan pemampat udara untuk mengeringkan dan meletakkan telefon pintar itu di atas almari terbuka selama satu malam, Miguel Pacheco terkejut apabila mendapati ikon pengecasan terpampang di atas skrin semasa beliau cuba mengecasnya.
Bukan sahaja telefon itu masih boleh dicas, gambar kunci skrin berupa foto seorang lelaki dan wanita berserta tarikh 13 Ogos turut terpampang pada skrin telefon pintar tersebut.
Tarikh itu adalah merupakan hari dimana pemiliknya kehilangan telefonnya itu. Pacheso berkongsi kisahnya menerusi media sosial serta berkongsi foto-foto yang terdapat dalam telefon pintar tersebut, yang berkemungkinan besar gambar pemilik telefon pintar iPhone berkenaan.

Selepas berkongsikan foto-foto menerusi kumpulan Facebook Cinder Noticeboard, ia telah mendapat perkongsian sebanyak 4,000 kali dan berjaya sampai kepada pengetahuan rakan pemilik telefon pintar tersebut.
Individu yang terdapat dalam foto itu merupakan pemilik sebenar telefon pintar tersebut, Owain Davis dan tunangnya, Fiona Gardner. Kedua-duanya menetap di Edinburgh, Scotland.

Semasa pemilik telefon pintar itu melihat semula telefon pintarnya yang sudah lama hilang, Owain Davies seolah-olah tidak dapat mempercayainya. Davies merasakan telefon pintarnya sudah hilang buat selama-lamanya setelah mengalami kemalangan sewaktu berkanu 10 bulan lepas.
Kini, telefon pintar itu sudah kembali ke tangannya semula bersama semua memori yang terkandung dan dapat berfungsi dengan baik.
Pemilik telefon pintar itu sudah semestinya berasa kagum dengan melihat usaha Miguel Pacheco untuk mengeringkan telefon pintarnya dan mencari dirinya menerusi media sosial. Davies juga mengaku, jika dia berada dalam situasi itu, dia berkemungkinan akan membuang telefon pintar ke dalam tong sampah berdekatan.
Menariknya, ini bukan kali pertama sebuah iPhone yang masih dapat berfungsi walaupun sudah terjatuh ke dalam air untuk beberapa bulan. Tahun lepas, terdapat sebuah iPhone 11 ditemui di tepi tasik setelah hilang selama setahun dan ia masih berfungsi.
Sumber: Oddity Central
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%