Lelaki Terkejut, Bekas Pemilik Rumah Tinggal Sekali Senyap-senyap 7 Tahun
Seorang lelaki di China terkejut apabila mendapati bekas pemilik rumah yang dibelinya menetap secara rahsia di ruang bawah tanah rumah tersebut selama tujuh tahun.
Kes tersebut kini tular di media sosial dan menjadi perdebatan warga maya di negara tersebut.
Menurut SCMP, Li membeli rumah subsale berkenaan yang terletak di kawasan sebuah bandar pada harga kira-kira USD 280,000.
Pembelian hartanah itu mengembirakan keluarga Li kerana sudah diubahsuai dan lokasinya yang berada berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam.
Bagaimanapun ketika mengemas rumah berkenaan pada suatu hari, Li menemui sebuah pintu tersembunyi yang terletak dibelakang sebuah tangga.
Mirip filem Parasit, bekas pemilik tinggal senyap-senyap di ruang bawah tanah rumah
Semasa membuat pemeriksaan, Li mendapati tangga berkenaan berhubung dengan sebuah ruang bawah tanah yang tidak disedarinya sebelum ini.
Apa yang mengejutkan, ruang bawah tanah berkenaan sangat besar dan lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk sistem ventilasi, pencahayaan dan sebuah bar.
Li kemudian menemui tanda-tanda bahawa ruang bawah tanah berkenaan berpenghuni, sekaligus membuatkan mereka sekeluarga merasa ketakutan.
Inginkan kepastian, dia seterusnya bertindak menghubungi pemilik terdahulu rumah tersebut, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Zhang.
Dia merasa marah dan menuduh Zhang sengaja menyembunyikan kewujudan ruang bawah tanah berkenaan daripada pengetahuannya.
Namun Zhang membalas bahawa dia hanya menjual rumah tersebut kepada Li, tidak termasuk dengan ruang bawah tanah terbabit.
Zhang juga mendakwa bahawa ruang bawah tanah itu adalah ruang peribadinya dan bukan sebahagian daripada hartanah yang terlibat dalam perjanjian urusan jual beli rumah berkenaan.
“Jika ruang bawah tanah ini juga milik kamu, di mana saya mahu berehat?” tanya Zhang kepada Li.
Menurut SCMP, tidak jelas bagaimana Zhang mengakses ruang bawah tanah yang bersambung dengan rumah yang dijual kepada Li itu.
Seorang netizen yang mengikuti kes itu berkata, wanita berkenaan mungkin mempunyai kunci pendua kepada rumah tersebut.
Manakala seorang lagi berpendapat Zhang mungkin mengakses ruang bawah tanah itu menerusi pintu yang ada di kawasan tempat letak kereta.
Dalam pada itu, Li yang tidak berpuas hati dengan penemuan berkenaan telah membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk dibicarakan.
Kata Li, ruang bawah tanah itu sepatutnya termasuk dalam hartanah yang dibeli daripada Zhang.
Mahkamah dalam keputusannya telah berpihak kepada Li dan mengarahkan Zhang untuk membayar pampasan kepada lelaki berkenaan.
Malah, mahkamah juga memerintahkan agar Zhang mengesahkan pemilikan Li ke atas ruang bawah tanah tersebut.
Sumber: Tarif Elektrik Baharu Tidak Beban Pengguna Domestik, Ambil Kira Keperluan Ekonomi – ST
Sumber: SCMP