Lelaki Kantoi Menyamar Pakai Burka, Bertanding Dalam Kejohanan Catur Kategori Wanita
Seorang lelaki dari Kenya berusia 25 tahun dilaporkan kantoi menyamar sebagai wanita untuk bertanding dalam kejohanan catur terbuka wanita bagi mewakili negaranya, lapor BBC.
Lelaki itu dikatakan mendaftarkan dirinya dengan menggunakan nama wanita sambil memakai burka serta memakai cermin mata.
Namun segalanya terbongkar selepas penganjur mula curiga dengan kejayaan pemain yang tidak dikenali itu.
Dalam pembelaannya, lelaki itu kemudian menulis surat permohonan maaf yang menyatakan bahawa dia mempunyai masalah kewangan.
Surat itu turut menyatakan bahawa dia bersedia untuk menerima akibat atau hukuman yang mungkin dikenakan ke atasnya.
Presiden Catur Kenya, Bernard Wanjala berkata lelaki itu berkemungkinan akan dilarang daripada menyertai kejuaraan tersebut untuk beberapa tahun.
Menyamar pakai burka
“Kami tidak mengesyaki pada awalnya, kerana memakai tudung adalah perkara biasa,” kata Wanjala kepada BBC Sport Africa.
“Tetapi sepanjang perlawanan, kami perasan dia sangat hebat dan menang sewaktu berdepan dengan pesaing yang sangat hebat.
“Kami berfikir bahawa tidak mungkin untuk orang yang tidak pernah menyertai kejuaran boleh bermain dengan sangat hebat,” tambah Wanjala lagi.
Tidak bercakap untuk mengelakkan diketahui
Sepanjang penyertaan dalam kejuaraan tersebut, lelaki itu dilaporkan tidak pernah bercakap walau sepatah perkataan sehingga menimbulkan rasa syak wasangka daripada penganjur.
“Kami juga perasan bahawa dia tidak bercakap, walaupun semasa dia datang untuk mengambil tagnya, dia tidak boleh bercakap. Selalunya, apabila bermain anda akan bercakap dengan lawan anda,” kata Wanjala.
Walaupun mereka ragu-ragu, penganjur masih membenarkan lelaki itu untuk meneruskan perlawanannya.
Penganjur risau jika tindakan diambil, orang ramai mungkin akan berfikir bahawa pihak penganjur mengesyakinya kerana penampilan tersebut.
Kredit BBC“Apabila dia mara selepas memenangi perlawanan dengan pesaing yang sangat kuat, kami memanggilnya. Dia tidak terkejut dan hanya menurut. Dia kemudian mengakui bahawa dia seorang lelaki.
“Dia kesal dengan apa yang berlaku sambil meminta maaf dan berkata bahawa dia hanya berbuat demikian kerana menghadapi masalah kewangan. Dia beranggapan dengan memenangi kejuaraan itu akan membantunya,” kata Wanjala lagi.
Terbuka Kenya yang diadakan pada minggu lalu merupakan kejuaraan tahunan yang bertempat di ibu negara Kenya, Nairobi.
BACA: “Berhabis Beli Baju Sekolah, Terus ‘Standby’ Modal Raya Pula,” Ni Cara Nak Kurangkan Kos Persiapan Raya Sampai 85%
Edisi tahun ini telah menarik seramai lebih daripada 400 pemain dari 22 negara. Seramai 99 orang telah didaftarkan dalam kategori wanita di mana pemenang akan membawa pulang bernilai USD3,000 (RM13,000).
Menurut Wanjala, lelaki itu merupakan pemain catur yang hebat dan dia berpendapat lelaki tersebut melakukan perkara itu mungkin kerana dia nampak peluang dalam kategori berkenaan.
Kes terbabit telah dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib badan itu yang dijangka akan memberi keputusan dalam beberapa hari akan datang.
“Ia adalah kes yang berat, keputusan itu mungkin termasuk dalam larangan menyertai kejuaraan. Saya menolak larangan seumur hidup, tetapi dia mungkin diberi larangan selama beberapa tahun,” jelas Wanjala.
Sumber: BBC