Kota Bharu, Kelantan– Seorang lelaki, 20-an, berputih mata setelah barang kemas milik ibunya yang bernilai lebih kurang RM370,000 tidak dipulangkan kembali oleh individu yang dikenalinya di dalam aplikasi media sosial.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, lelaki yang berumur awal 20-an itu telah terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai kerabat istana dan menggunakan nama ‘Tengku’.
Difahamkan, sebaik sahaja berkenalan, ‘Tengku’ telah bertanyakan kepada mangsa mengenai emas dan apabila mangsa menyatakan bahawa ibunya memiliki barang kemas, ‘Tengku’ telah meminta mangsa menyerahkan barang kemas itu untuk dilihatnya sebagai bukti kesetiaan dan kasih sayang mangsa kepadanya.
Mangsa yang terpedaya telah membuat penghantaran barang kemas ibunya secara dua peringkat iaitu pada 31 Mei 2021 menggunakan perkhidmatan teksi dan pada 2 Jun 2021 menggunakan perkhidmatan Grab Car kepada Pembantu Peribadi ‘Tengku’ yang berada di Kota Bharu, Kelantan.
“Mangsa di dalam tempoh pengenalan juga telah membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM201,000 ke dua akaun bank milik individu pihak ketiga atas alasan sama untuk menunjukkan kesetiaan dan kasih sayang serta dijanjikan sebuah kenderaan trak pikap,” kata kenyataan itu.
Mangsa telah membuat laporan polis setelah merasa ditipu oleh ‘Tengku’ kerana tidak pernah datang berjumpanya seperti yang dijanjikan dan tidak memulangkan kembali barang kemas milik ibunya.
Tidak cuma itu, ‘Tengku’ juga terus memaksa mangsa untuk menyerahkan wang kepadanya termasuk mengugut untuk menyebarkan video bogel mangsa.
“Kes kini dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” kata kenyataan itu lagi.


Sumber: Polis Kontinjen Kelantan