Sebuah syarikat pertukaran matawang kripto di Jepun, Liquid Global dilapor menjadi mangsa rompakan dipercayai didalangi kumpulan penggodam, lapor BBC.
Berikutan kejadian berkenaan, Liquid Global menanggung kerugian besar selepas selepas matawang kripto bernilai sekurang-kurangnya USD 100 juta (RM 423 juta) lesap begitu sahaja.
”Kami dengan ini memohon maaf dan ingin membuat pengumuman bahawa #LiquidGlobal ‘warm wallet’ telah digodam. Ketika ini, kami memindahkan semua aset kepada ‘cold wallet”’, kata Liquid dalam satu kenyataan.
Warm wallet merujuk kepada dompet digital yang kebiasaannya berasaskan sistem atas talian (online) dan direka untuk membolehkan pemilik wang kripto mengakses akaun masing-masing dengan pantas.
Manakala cold wallet pula berasaskan sistem luar talian (offline) dimana ia lebih sukar untuk diakses dan lebih selamat.
Liquid Global ketika ini sedang berkerjasama dengan syarikat-syarikat pengendali matawang kripto yang lain bagi mengesang aset miliknya yang dicuri itu.
Ia merupakan rompakan kedua yang menggemparkan komuniti kripto selepas Poly Network turut menjadi serangan yang lebih parah, selepas matawang kripto bernilai USD 600 juta (RM 2.5 bilion) turut dilarikan kumpulan penggodam.
Bagaimanapun, media melaporkan matawang berkenaan telah dikembalikan oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Mr White Hat. Serangan ke atas Poly Network itu dipercayai bertujuan untuk mendedahkan kelemahan pada sistem pengurusan matawang kripto milik syarikat tersebut.
Sumber: BBC