Gambar Via Google

Kucing Jalanan Yang ‘Dilantik’ Jadi Ketua Pemburu Tikus Pejabat Menteri Luar UK Dilapor Bersara

Sofea

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kucing sememangnya sentiasa ‘bermusuhan’ dengan tikus tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Ia bagaikan lumrah buat seekor kucing untuk mengejar dan menangkap mana-mana tikus yang ada di depan mata.

Namun, tahukah anda bahawa menangkap tikus juga boleh menjadi ‘pekerjaan’ rasmi bagi si kucing.

Bagi yang masih tidak tahu, seekor kucing di United Kingdom telah menjadi penangkap tikus yang berjaya sehingga diberi tugas untuk menjaga Pejabat Luar Negeri (FCO) di sana.

Palmerston, kucing berwarna hitam putih itu telah bertugas di sana sejak tiba dari Battersea pada tahun 2016.

‘Jawatan’ tertingginya adalah Sebagai ‘Chief Mouser’.

Dinamakan sempena Setiausaha Luar Negeri Abad ke-19 yang terkenal, Viscount Palmerston, ia sering tampil dalam gambar yang melibatkan pegawai lawatan.

Menurut portal inews.co pada tahun 2017, Palmerston dipercayai telah menangkap 26 ekor tikus dan bilangannya mungkin lebih banyak untuk tahun yang mendatang.

Palmerston juga sangat disayangi oleh pegawai-pegawai kerajaan kecuali Larry, seekor kucing di 10 Downing Street yang berdekatan. Mereka terkadang akan bertengkar di jalan di luar rumah Perdana Menteri Britain, lapor The Associated Press.

Menurut BBC, ‘perselisihan’ di antara mereka juga mungkin menyebabkan Palmerston ‘membuat keputusan’ untuk bersara daripada menjadi penangkap tikus.

Kucing itu telah secara rasmi bersara pada Ogos lalu dengan mengeluarkan satu kenyataan di laman Twitter ‘miliknya’.

Dalam ‘kenyataannya’ pada ketika itu, Palmerston ‘berkata’ bahawa ia lebih suka menghabiskan masa untuk bersantai dan memanjat pokok daripada ‘mendengar semua perbincangan orang kenamaan asing’ di pejabat tersebut.

Ia juga telah berpindah ke lokasi yang tidak didedahkan.

Dengan 112.6 ribu pengikut di Twitter, ‘keputusan’ Palmerston untuk bersara dari tugasnya itu telah mendapat pelbagai reaksi. Rata-rata dari pengikutnya berharap agar ia menikmati hidupnya dengan baik.

Sumber: BBC, Insider