KKDW Hapus Budaya Silo, Tingkat Sinergi Antara Agensi Untuk Pacu Ekosistem Pembangunan Luar Bandar
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengesa agensi yang berpayung di bawah Kementerian menghapus budaya ‘silo’ dan bersinergi dalam memacu ekosistem pembangunan luar bandar yang lebih holistik.
Langkah ini bagi mendepani cabaran akibat kekangan sumber dan kemajuan teknologi melalui Collaborative Framework atau Rangka Kerja Kolaboratif yang menumpukan kepada perkongsian sumber, pengetahuan, dan kepakaran untuk mencapai hasil yang optimum.
Dalam konteks pembangunan desa contohnya, setiap agensi di bawah KKDW mempunyai peranan yang unik tetapi saling melengkapi. FELCRA berperanan dalam pembangunan tanah dan pertanian luar bandar, MARA melahirkan usahawan dan melaksanakan agenda pendidikan, JAKOA dalam memperkasakan masyarakat Orang Asli, dan RISDA dalam membangunkan pekebun kecil.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi turut mengambil contoh FELCRA Berhad yang telah bekerjasama dengan JAKOA bagi membangunkan 52 buah projek rancangan orang asli (ROA), dengan keluasan hampir 6,800 hektar yang memberi manfaat kepada hampir 2,100 peserta orang asli.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulan Oktober KKDW di Wisma FELCRA Berhad, Setapak Jaya, Kuala Lumpur.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Binti Haji Wang, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar, Pengerusi FELCRA Dato’ Sri Ahmad Jazlan Bin Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Datuk Idris bin Lasim.
Dalam pada itu, penggunaan Dashboard Komuniti Desa juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan akses kepada maklumat pertanian, pendidikan, latihan keusahawanan, dan bantuan dapat dipercepatkan dan diperkasakan.
Dashboard ini juga dapat membantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) supaya lebih efisien dalam mengurus tadbir kampung.

Jalinan kerjasama dengan pihak swasta juga disarankan Timbalan Perdana Menteri melalui cadangan awal seperti bootcamp literasi digital intensif melalui KEMAS, kerjasama dengan syarikat pelancongan untuk mempromosi pelancongan desa yang menonjolkan tradisi tempatan, kraf tangan, dan eko-pelancongan serta memasarkan homestay atau rumah-rumah kampung yang sedia ada untuk menarik lebih ramai pengunjung ke perkampungan desa.
Dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu ini, setiap agensi di bawah KKDW juga perlu mengorak langkah ke arah kemandirian dengan menjana pendapatan sendiri supaya tidak bergantung kepada peruntukan Kerajaan.
Perhimpunan kali ini juga menyaksikan 20 pegawai KKDW termasuk Ketua Setiausaha KKDW menerima Watikah dan Pemakaian pangkat Pegawai Kehormat dan Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Selain itu, turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Pekerja Madani kepada sembilan kakitangan KKDW yang terpilih bagi menghargai sumbangan dan pencapaian mereka.