Kisah Ibu Hilang 3 Anak Serentak Akibat Kemalangan, Tak Sangka Hamil Kembar 3 Setahun Kemudian
Kehadiran anak adalah penyeri kepada kehidupan setiap pasangan suami isteri, lebih-lebih lagi jika sudah sekian lama memasang hajat untuk menimang cahaya mata.
Zuriat yang lahir daripada darah daging sendiri pasti akan ditatang bagai minyak yang penuh. Seekor nyamuk pun tidak akan dibiar hinggap pada tubuh badan mereka. Segala keperluan daripada hujung kepala hingga ke hujung kaki dipastikan akan terjaga dan dipenuhi.
Melihat anak membesar dengan sihat dan sempurna di depan mata akan menghadirkan senyuman yang panjang pada wajah si ibu dan ayah.
Namun langit tidaklah selalu akan cerah. Ujian paling berat dan paling besar setiap orang tua adalah melihat anak masing-masing pergi dahulu sebelum mereka.
Kemalangan ragut nyawa 3 anak serentak, ibu hamil kembar 3 setahun kemudian
Tetapi, itulah hakikat yang perlu diterima kerana tiada siapa yang tahu bila ajal akan datang menjemput. Semua itu adalah ketentuan dan kuasa Tuhan Yang Maha Esa, kita sebagai hamba perlu menerima ujian yang datang dengan penuh kesabaran dan redha.
Begitulah situasi hiba yang menimpa pasangan suami isteri, Lori dan Chris Coble dimana mereka kehilangan tiga orang anak yang begitu dicintai secara serentak.
Pada 4 Mei 2007, Lori bersama tiga anaknya, Kyle (5), Emma (3) dan Katie (2) serta ibunya, Cindy keluar berjalan-jalan di sebuah pusat beli belah, sehari selepas menyambut ulang tahun kelahiran anak sulungnya.
Ketika itu, Chris tidak ikut bersama kerana sedang bekerja bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Tiada siapa yang sangka, dalam perjalanan pulang menaiki kenderaan peribadi, mereka terlibat dalam kemalangan negeri ketika berhenti di lampu isyarat sebuah persimpangan.
Tragedi sehari selepas sambut ulang tahun kelahiran anak sulung
Kenderaan yang dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah lori yang membawa muatan berat, menyaksikan Kyle, Emma dan Katie mengalami kecederaan serius dalam tragedi itu.
Kyle mengalami kecederaan parah pada bahagian otak, manakala dua orang adiknya turut berada dalam keadaan kritikal.
Ujian lebih besar kemudian terpaksa dilalui oleh Lori dan Chris selepas itu apabila ketiga-tiga anak mereka akhirnya meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Situasi yang dihadapi itu ternyata meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada Lori dan Chris serta memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
Biarpun dihimpit kesedihan berpanjangan, pasangan suami isteri itu nekad untuk berusaha menimang cahaya mata sekali lagi dan memilih kaedah IVF, tiga bulan selepas tragedi menyayat hati itu menimpa mereka.
Selepas meletakkan 10 telur, takdir Tuhan menentukan tiga daripadanya berjaya disenyawakan, menandakan pasangan itu bakal menimang cahaya mata kembar tiga.
Ada kemanisan selepas dilanda ujian berat
Lebih manis, dua daripada janin itu disahkan berjantina perempuan sekaligus sama seperti tiga mendiang anak mereka sebelum ini.
Selepas setahun kehilangan Kyle, Emma dan Kattie, Lori melahirkan bayi kembar tiga yang masing-masing dinamakan sebagai Ashley, Ellie dan Jake.
“Walaupun Ashley, Ellie dan Jake tidak akan dapat menggantikan kehilangan Kyle, Emma dan Katie, tetapi kehadiran kembar tiga ini mengembalikan kecerian dalam hidup kami.
“Mereka mengisi semula hati kami dengan kegembiraan dan rumah tangga kami dengan kemanisan,” ujar Lori.
Walaupun pernah kehilangan tiga orang anak serentak, Lori dan Chris merasa bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk meneruskan kehidupan dengan tiga anak kembar.
BACA: Penerus Legasi, Anak Sharifah Khasif Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Kebangsaan
Sumber: Oprah.com