Kira-kira 500 Ekor Ikan Paus Mati, Setelah Terdampar Di Pantai Di New Zealand
Kira-kira 500 ikan paus dilaporkan mati setelah terdampar di Kepulauan Chatham, New Zealand, kata kerajaan selepas usaha menyelamat terpaksa diketepikan ekoran ancaman ikan jerung di kawasan perairan tersebut.
Sebelum ini, 250 ikan paus ditemui terdampar di Pulau Chatham pada Jumaat. Tiga hari kemudian 240 ekor lagi dilaporkan telah ditemui di Pulau Pitt.
Kedudukan pulau-pulau berkenaan yang terletak terlalu jauh di tanah besar New Zealand menyebabkan operasi menyelamat itu bertambah sukar.
“Disebabkan oleh risiko serangan jerung kepada manusia dan haiwan itu, mana-mana paus terdampar yang masih hidup akan dibunuh oleh pasukan terlatih kami untuk mengelakkan penderitaan yang berlarutan. Keputusan ini bukan mudah, namun dalam keadaan ini, ia perlu dibuat,” kata Dave Lundquist, penasihat teknikal marin kerajaan, lapor AFP.
Bangkai-bangkai ikan paus itu akan dibiarkan begitu sahaja untuk terurai secara semula jadi.
Insiden ikan paus terdampar di pulau berkenaan bukan perkara baharu memandangkan kes seumpanya pernah berlaku sebelum ini. Pada 1918, sejarah merekodkan kira-kira 1,000 ekor ikan paus pernah ditemui terdampar di sana, diikuti kejadian yang sama pada 2018 melibatkan 700 ekor ikan paus.
Hingga kini, saintis tidak dapat mengenalpasti penyebab utama insiden seperti itu boleh berlaku. Namun, mereka menyimpulkan ikan-ikan paus ini mungkin terkeluar daripada jalan ketika memburu makanan, hingga tersasar ke kawasan perairan yang cetek.
Ikan paus spesis tersebut diketahui sebagai hidupan yang gemar bersosial, jadi ada kemungkinan kumpulan yang masih terselamat mengikut rakan yang terdampar hingga menyebabkan insiden skala besar itu boleh berlaku.
Menurut angka rasmi kerajaan, kira-kira 300 ekor ikan paus dilapor terdampai di pantai setiap tahun, menjadikan insiden-insiden 20 hingga 50 ekor ikan paus terdampar bukan sesuatu yang luar biasa.
Tetapi, bilangan tersebut boleh bertambah hingga mencecah ratusan apabila ada induk yang turut terdampar.
Bulan lalu hampir 200 paus mati di sebuah pantai terpencil di barat Tasmania, Australia. Bagaimanapun, agensi hidupan liar negara itu berjaya menyelamatkan sekurang-kurang 44 ekor haiwan tersebut.
Sumber: AFP