Kilang Cat Di Iskandar Puteri Terbakar, Penduduk Kawasan Sekitar Sedia Pindah
Penduduk di di sekitar kawasan perumahan Kampung Melayu Lima Kedai bersedia untuk berpindah susulan insiden kebakaran di sebuah kilang cat di Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman pada lewat petang Isnin.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian pada Selasa, keadaan di kawasan tersebut adalah terkawal, tetapi Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih melakukan pemeriksaan pencemaran udara di lokasi kejadian.
Terdapat kebimbangan bahawa kualiti udara di kawasan tersebut dilaporkan berada dalam keadaan yang tidak memuaskan, yang memerlukan penduduk berpindah sementara waktu.
Salah seorang penduduk, Muhammad Haiqal Shazwan Kassim, 23, menyatakan kesediaannya untuk berpindah jika diarahkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan keluarganya.
“Kalau kita dapat arahan bomba dan polis untuk pindah kerana udara di sekitar tak selamat, jadi kita sedia untuk berpindah.
“Begitu juga kalau ada apa-apa yang boleh berikan kesan dari segi keselamatan, kita juga sedia untuk pindah ke kawasan lain,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Zulhairi Hairul Nizam, 21, menyatakan bahawa dia akan terus tinggal di kampung tersebut selagi tiada arahan untuk berpindah.
Katanya, dia menunggu maklumat terkini mengenai kebakaran itu untuk memastikan dirinya bersedia jika perlu berpindah.
“Buat masa ini belum ada apa-apa tindakan lagi untuk saya berpindah sebab saya nak dapatkan info dan menunggu kenyataan daripada pihak alam sekitar (Jabatan Alam Sekitar Johor).
“Bagaimanapun, saya tetap berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat membantu dengan segara menyelesaikan apa juga tindakan yang akan dilakukan bagi menjamin keselesaan penduduk di kampung ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Kampung Melayu Lima Kedai, Abdul Halim Abdullah berkata, pihaknya juga menunggu keputusan daripada JAS Johor mengenai kualiti udara di kawasan tersebut.
Menurut beliau, beliau sedia berpindah demi keselamatan diri dan keluarga jika kualiti udara di kawasan berkenaan disahkan tidak sihat.
“Arahan perpindahan itu sebenarnya dibuat jika penduduk ada terhidu bau gas, mungkin ada bau alat-alat kimia atau apa-apa sahaja.
“Apa pun, kita tunggu keputusan daripada JAS Johor. Jika dah sah udara tak selamat, kita kena berpindah… jom kita berpindah, tak ada masalah,” katanya.
BACA JUGA: CIMB Clicks Tak Lagi Tersedia Di Gedung Aplikasi Bermula 11 Jun
Sumber: Sinar Harian