Kidslympic Malaysia Umum Kerjasama dengan Affin Bank dan Watsons bagi Menjayakan Temasya Sukan Negara Khusus untuk Kanak-Kanak pada Oktober
Tiada Kategori

Kidslympic Malaysia Umum Kerjasama dengan Affin Bank dan Watsons bagi Menjayakan Temasya Sukan Negara Khusus untuk Kanak-Kanak pada Oktober

Siti Sakinah

Kidslympic Malaysia Umum Kerjasama dengan Affin Bank dan Watsons bagi Menjayakan Temasya Sukan Negara Khusus untuk Kanak-Kanak pada Oktober

KUALA LUMPUR, 22 JUN 2025 — Kidslympic Malaysia 2025 secara rasminya dilancarkan hari ini dengan pengumuman kerjasama daripada Affin Bank dan Watsons Malaysia selaku rakan kongsi utama dalam memperkukuhkan komitmen bersama dari sudut pembangunan belia, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.

Hampir 1,000 pelari kanak-kanak bersama ibu bapa mereka memecah keheningan pagi dengan menyertai Larian Kidslympic Malaysia Kuala Lumpur 2025 di Dataran DBKL — yang menandakan pelancaran rasmi Kidslympic Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober ini.

Pelari-pelari muda yang mewakili sekolah-sekolah, komuniti dan ahli keluarga di sekitar Lembah Klang menandakan detik permulaan Kidslympic Malaysia sebagai gerakan berskala nasional dalam melahirkan generasi juara masa depan, dengan berpaksikan visi “Dari Padang Permainan ke Podium Kemenangan”

Lim Kien Wei, Ketua Pegawai Eksekutif Kidslympic Malaysia, berkata:

“Kidslympic bukan sekadar acara sukan. Ia merupakan platform jangka panjang untuk memperkasa kanak-kanak melalui acara sukan, pendidikan dan komuniti. Dalam usaha kita membina gerakan nasional di peringkat akar umbi, kami mengalu-alukan organisasi dan rakan strategik yang berkongsi visi yang sama untuk menyokong pembangunan generasi akan datang. Dengan usaha dan kerjasama berterusan, kita mampu membina legasi yang mengukuhkan jalinan sosial negara.”

“Bagi merealisasikan usaha ini, dengan penuh sukacitanya kami mengumumkan Affin Bank dan Watson Malaysia sebagai rakan kongsi utama pada acara kali ini.

“Menerusi program inisiatif “Kids Save Smart”, Affin Bank menyemai semangat celik kewangan dan kepentingan perancangan masa hadapan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Ini bukan sahaja menggalakkan mereka menyimpan impian besar tetapi juga mempersiapkan mereka dengan asas kewangan yang kukuh. Sementara itu, Watsons Malaysia selaku peneraju industri runcit kesihatan dan kecantikan No. 1 di Malaysia akan menyumbang tenaga dan kepakaran melalui aktiviti kesihatan, kesejahteraan dan stesen hidrasi secara fizikal di lokasi acara.

Caryn Loh, Pengarah Urusan Watsons Malaysia dan Ketua Pegawai Operasi Kesihatan dan Kecantikan Asia, AS Watson Group, memberitahu:

“Watsons begitu berbangga menjadi sebahagian daripada Kidslympic Malaysia 2025 — satu usaha yang memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengamalkan gaya hidup lebih aktif dan sihat. Selaku jenama yang memartabatkan amalan kesihatan dan kesejahteraan, kami percaya asas yang kukuh dibentuk dari usia muda. Menerusi kerjasama ini, harapan kami untuk melihat riadah dan kecergasan menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan mudah dicapai untuk kanak-kanak dan keluarga di seluruh negara melalui penganjuran aktiviti ini. Bersama-sama kita membentuk juara masa hadapan, sama ada di dalam ataupun di luar gelanggang.”

Goh Liu Ying, Pengasas Bersama Kidslympic Malaysia dan pemenang pingat perak temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, berkata:

“Sebagai individu yang bermula dengan hanya membawa sebuah raket diiringi impian yang besar, saya begitu memahami betapa besarnya impak pendedahan awal terhadap sukan. Kidslympic memberi percikan semangat kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira sama ada mereka menjadi juara atau tidak, mereka akan membesar sebagai individu berkeyakinan, berdisiplin dan ceria.”

Wong Kang Woon, Pengasas Bersama Kidslympic Malaysia, berkata:

“Ini lebih daripada sekadar acara sukan. Ia adalah sebuah gerakan untuk memberi inspirasi kepada setiap kanak-kanak Malaysia untuk percaya bahawa kejayaan bermula dengan satu langkah kecil dan podium kejayaan berada dalam jangkauan bagi mereka yang memiliki impian kemenangan.”

Acara larian anjuran Wellsport Kidslympic dengan kerjasama MyCreative Moments ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Liu Ying, Kang Woon dan Kien Wei mengiringi Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP), Aziz Hashim, Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Lidyawati Hamzah, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Affin, Joanne Rodrigues, Pengurus Kanan, Pemasaran Kesihatan, Watsons, Desmond Shia dan Presiden Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim. Turut hadir pengurus PNB Ventures Merdeka Sdn Bhd, Alias Daud.

Turut menghulurkan sokongan terhadap acara itu ialah skuad gimnastik artistik negara yang diketuai oleh Ng Shu Wai, dan pemain bowling tenpin negara, Timmy Tan.

Kidslympic Games Malaysia 2025, temasya sukan pelbagai acara khusus untuk kanak-kanak, dijangka menghimpunkan lebih 1,500 atlet muda dari seluruh negara untuk bersaing dalam disiplin berkonsepkan Olimpik di Stadium PNB Merdeka Ventures bermula pada 10 hingga 12 Oktober di Kuala Lumpur. Acara yang dipertandingkan termasuk olahraga, renang, bola keranjang 3×3, bola tampar, bola sepak, gimnastik dan perlumbaan halangan.

Edisi pertama Kidslympic Malaysia dianjurkan pada Disember 2024 dengan disertai lebih 800 kanak-kanak dalam lima acara sukan -olahraga, sofbol, bola tampar, gimnastik dan pentatlon moden.