Khabar Angin Sertai PRU15: ‘Muafakat Nasional Bukan Parti Politik, Ia Sebuah NGO’ – Annuar
Desas-desus Muafakat Nasional (MN) kembali ‘dihidupkan’ akhirnya terjawab apabila bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan khabar angin gagasan itu menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Annuar dalam satu kenyataan di Facebook, hal tersebut kerana MN merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Jadi tegasnya, isu penyertaan MN dalam PRU15 kali ini sepatutnya tidak perlu dibangkitkan kerana ia digerakkan kembali atas kapasiti sebuah organisasi berdaftar.
“Pada masa ini MN bukan sebuah parti politik. Ia adalah sebuah badan NGO berdaftar di bawah pendaftar pertubuhan secara rasmi dan sah.
“Tidak berbangkit soal MN menyertai pilihan raya. MN boleh diaktifkan untuk menjalankan aktiviti yang selari dengan perlembagaannya,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Baru-baru ini, spekulasi Annuar yang dikatakan bakal bertanding dalam PRU15 atas tiket MN hangat diperkatakan selepas beliau memuat naik gambar sijil pendaftaran gagasan tersebut.
Difahamkan sijil itu diluluskan oleh ROS pada tahun 2019 lalu dan turut memaparkan namanya sebagai Presiden MN.
Terdahulu media melaporkan, Annuar merupakan antara beberapa nama bekas Ahli Parlimen BN yang digugurkan pada PRU15 kali ini.
Sumber: Tan Sri Annuar Musa via Facebook
BACA JUGA: Annuar Musa Digugur Calon BN, Diganti Marzuani Bagi Parlimen Ketereh