nama bulan kalendar
Gambar: Siakap Keli

Ketahui Dari Mana Datangnya Nama 12 Bulan Dalam Kalendar

Hannah

Ketahui Dari Mana Datangnya Nama 12 Bulan Dalam Kalendar

Pernahkah anda tertanya-tanya dari mana asal usul nama-nama bulan dalam kalendar yang kita gunakan sekarang?

Sistem kalendar 12 bulan dengan jumlah 365 hari sebenarnya berasal dari sejarah purba, beratus-ratus tahun sebelum era moden.

Menurut legenda Rom Purba, raja pertama Rom yang dikenali sebagai Romulus dikatakan telah memperkenalkan kalendar 10 bulan sekitar tahun 738 sebelum Masihi (SM).

Kalendar itu terdiri daripada bulan Martius, Aprilis, Maius, Juniius, Quintilis, Sextilis, September, October, November dan December.

Namun begitu, ahli sejarah moden berpendapat bahawa penciptaan kalendar Rom purba tidak dibuat oleh Romulus secara langsung, kerana beliau lebih dianggap sebagai tokoh legenda berbanding individu sejarah sebenar.

Menariknya, walaupun sudah berlalu lebih 2,500 tahun, kebanyakan nama bulan ini masih digunakan hingga ke hari ini.

Persoalannya, apakah maksud sebenar nama-nama bulan tersebut, dan ke manakah perginya bulan Quintilis dan Sextilis yang pernah wujud suatu ketika dahulu?

Januari

Kalendar moden kita bermula dengan bulan Januari, iaitu permulaan tahun baru dalam kalendar Rom sejak abad kedua Masihi.

Menurut Mental Floss, nama Januari berasal daripada Janus, dewa purba Rom yang menjaga pintu dan gerbang. Pada zaman Rom, bulan ini dikenali sebagai Januarius.

Februari

Februari dinamakan sempena Februalia, sebuah festival penyucian Rom untuk menghormati Dewi Juno dalam bentuknya sebagai Februa, dewi cinta dan kesuburan.

Menurut legenda, raja kedua Rom, Numa Pompilius, menambah Januari dan Februari ke dalam kalendar asal 10 bulan sekitar 700 SM.

Pada asalnya, Februari berada selepas Disember, sebelum dipindahkan ke posisinya sekarang antara Januari dan Mac sekitar 452 SM.

Mac

Bulan Mac dinamakan Martius, sempena dewa perang Rom, Mars. Dahulu, tahun baru dikira bermula pada bulan Mac sehingga abad kedua Masihi apabila Januari mula dijadikan bulan pertama dalam kalendar.

April

Bulan April, yang dahulu dikenali sebagai Aprilis, dianggap bulan istimewa yang dikaitkan dengan Dewi Venus.

Nama April dipercayai berasal sama ada daripada Aphrodite iaitu dewi cinta dalam mitologi Yunani atau daripada perkataan Latin aperire yang bermaksud'membuka'.Istilah ini merujuk kepada bunga-bunga yang mula mekar, menandakan kedatangan musim bunga.

Mei

Mei atau Maius dalam kalendar Rom purba dipercayai dinamakan sempena Maia, dewi kesuburan.

Jun

Jun atau Juniius dinamakan sempena Dewi Juno, isteri kepada dewa Jupiter, yang dikaitkan dengan kehidupan wanita, termasuk perkahwinan, kesuburan dan kelahiran.

Julai

Bulan Julai asalnya dinamakan Quintilis, bermaksud 'bulan kelima' dalam kalendar purba apabila tahun dianggap bermula pada bulan Mac. Ia kemudian ditukar menjadi Julius sekitar 44 SM bagi menghormati Julius Caesar.

Ogos

Bulan Ogos dinamakan sempena Augustus Caesar sekitar 8 SM. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Sextilis, bermaksud 'bulan keenam' dalam kalendar 10 bulan Rom purba.

September hingga Disember

Empat bulan terakhir iaitu September, Oktober, November, dan Disember, berasal dari angka kedudukan mereka dalam kalendar 10 bulan Rom:

  • September daripada septem (tujuh)

  • Oktober daripada octo (lapan)

  • November daripada novem (sembilan)

  • Disember daripada decem (sepuluh)

Walaupun kini mereka menjadi bulan ke-9 hingga ke-12 dalam kalendar 12 bulan, nama-nama ini tetap digunakan lebih dari 2,500 tahun.