Kesihatan Fatimah Semakin Merosot, Keluarga Mohon Doa Orang Ramai
Keadaan kesihatan seorang kanak-kanak, Fatimah Omar Mukhlis, 10, semakin merosot walaupun pendarahan yang dialami telah berhenti sepenuhnya pada Jumaat lalu.
Perkembangan kesihatan anak kedua daripada tiga beradik The Family UK itu telah dikongsikan di akaun Instagram thefamily.uk pada Rabu.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu dijadualkan menjalani proses biopsi sekali lagi pada Rabu setelah ditidurkan.
“Bismillahirrahmanirrahim, banyak yang berlaku dalam beberapa hari ini. Pendarahan Fatimah telah berhenti sepenuhnya sejak Jumaat lalu tetapi malangnya keadaannya semakin teruk,” katanya.
Oleh itu, ahli keluarga memohon orang ramai untuk mendoakan agar kanak-kanak itu diberikan kekuatan dan kembali sihat.
Gambar: Instagram @thefamily.uk“Kami sekeluarga dengan penuh rendah diri dan pengharapan, ingin memohon jasa baik anda semua agar sudi untuk terus mendoakan kesayangan kami, Fatimah binti Omar Mukhlis.
“Semoga Allah permudahkan urusan biopsi Fatimah tanpa sebarang komplikasi. Semoga berkat doa ramai, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah.
“Terima kasih pada semua yang tak putus-putus bertanya khabar, tolong mendoakan dan juga menitipkan kata-kata semangat buat Fatimah dan kami sekeluarga.
“Semoga segala jasa baik anda semua dikurniakan ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh Allah SWT,” luahnya dalam hantaran tersebut.
Dalam hantaran sebelum ini, kanak-kanak itu dilaporkan mengalami pendarahan selepas prosedur pembedahan biopsi pada minggu lepas.
Bagaimanapun selepas lapan hari, Fatimah terpaksa ditidurkan dalam usaha untuk menghentikan pendarahan tersebut.
Pun begitu, dua jam sebelum kanak-kanak itu dibawa masuk ke dalam bilik bedah, darah yang mengalir tanpa henti selama lapan hari itu telah kering.
Fasih bertutur dalam dialek Kelantan
Menurut Astro Awani, Fatimah menjadi bualan wargamaya kerana kefasihannya bertutur dalam dialek Kelantan sejak berusia tiga tahun.
Untuk makluman, Fatimah dilahirkan di Birmingham, United Kingdom (UK) bukan sahaja mempunyai pertalian darah Malaysia.
Dia juga fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Siam.
Sumber: Instagram @thefamily.uk