Kes COVID-19 di India mencatatkan peningkatan mendadak dengan lebih 352 ribu kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam pada 25 April.
Memetik The Guardian, ibu negara itu, Delhi telah dikenakan perintah berkurung selama seminggu bermula Isnin lalu manakala semua penerbangan dari India turut disekat di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan UK. Tidak terkecuali, Malaysia kini juga bakal menghalang penerbangan keluar masuk dari negara berkenaan bermula 28 April ini.
Sehingga kini, India berada di tempat kedua menjadi negara yang merekodkan jumlah kes tertinggi COVID-19 selepas Amerika Syarikat dengan 17 juta kes.
Malah, ia dilaporkan menjadi negara keempat mempunyai jumlah kematian di dunia dengan jumlah melebihi 180 ribu kes.
Dianggap bagaikan ribut melanda oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi itu, berikut merupakan antara punca di sebalik peningkatan mendadak tersebut.
Kurang persediaan
Pada awal Februari, kes di India berada bawah daripada 10,000 kes sehari. Pun begitu, angka terus meningkat berpuluh kali ganda dipercayai kerana kekurangan persediaan kerajaan menghadapi gelombang pandemik itu.
Bhramar Mukherjee, ahli biostatistik Universiti Michigan mendakwa, India gagal belajar daripada peningkatan mendadak gelombang kedua atau ketiga di Brazil dan UK bagi memastikan ia bersedia berhadapan situasi serupa.
Varian mutan berganda
Penemuan mutasi baru COVID-19 dipercayai menjadi salah satu faktor utama berlakunya peningkatan kes secara mendadak, tulis The Guardian. Dikenali sebagai varian B.1.617 serta mempunyai dua mutasi luar biasa, E484Q dan L425R, varian ini dikatakan lebih mudah disebarkan berbanding varian sebelumnya.
Sistem kesihatan terbeban
Biarpun India dikenali sebagai salah satu negara pembekal vaksin COVID-19, sistem kesihatan negara itu tidak terlepas dari terbeban dengan kes COVID-19 yang mencanak naik.
Hospital di negara itu dilaporkan mengalami masalah kekurangan katil serta bekalan perubatan termasuk oksigen. Malah, menurut The Guardian, kemampuan makmal untuk ujian COVID-19 juga teruji tatkala menghadapi gelombang kali ini.
Sekatan perintah berkurung diringankan terlalu awal
Susulan sekatan yang diringankan, penduduk India telah mengambil peluang mengadakan perhimpunan besar-besaran termasuk festival keagamaan sehingga melibatkan jutaan peserta himpunan. Malah, kebanyakan hadirin dilaporkan tidak mematuhi panduan COVID-19 semasa himpunan.
Sumber: The Guardian