Dilelong dengan harga ‘pecah’ rekod dunia, sebuah kerusi antik berusia lebih 300 tahun dijual dengan harga RM74 juta tetapi pembeli tidak boleh duduk di atasnya.
Memetik The Sun, pakar berkata peninggalan itu sudah tidak kukuh serta kondisinya rapuh namun harus dianggap sebagai karya seni daripada segi penggunaan.
Difahamkan, kerusi sandar yang diperbuat daripada rosewood itu merupakan satu daripada enam kerusi yang wujud di dunia ini yang direka untuk pembesar pengembara di China semasa Dinasti Ming.
Kerusi itu digunakan oleh pegawai tertinggi dalam perjalanan mereka dan merupakan tempat duduk kerusi kehormatan terbesar.
Kemudiannya, kerusi itu disimpan di rumah Ahli Perniagaan Hong Kong Sir Joseph Hotung di London yang meninggal dunia pada Disember pada usia 91 tahun.
Pada awalnya, kerusi antik itu mempunyai anggaran sehingga RM8.8 juta namun seorang pengumpul persendirian sanggup membayar lapan kali ganda semasa bidaan dilakukan pihak Sotheby di tengah London pada Sabtu.
Pakar Seni Asia Henry Howard Sneyd berkata bidaan tinggi yang dikemukakan oleh orang awam menunjukkan karya tersebut merupakan hasil kerja yang menakjubkan.
“Melihat tawaran yang masuk merupakan kemuncak kerjaya serta menunjukkan kerusi itu adalah hasil karya yang menakjubkan,” katanya memetik The Sun.
Kerusi yang paling dicari kerana unik
Dalam pada itu pihak penganjuran bidaan Sotheby Melica Khansari berkata kemungkinan kerusi itu merupakan kerusi yang paling dicari dari zaman Dinasti Ming.
“Kerusi berlengan lipat ladam kuda mungkin yang paling dicari daripada semua barangan perabot Ming.
“Dan dianggap sebagai reka bentuk yang paling menarik dan paling terkenal yang dicipta oleh tukang kayu orang Cina,” katanya.
Tambahnya kerusi itu dilipat untuk memudahkan pengangkutan bagaimanapun difahamkan ia dipercayai mudah rosak.
“Dicipta untuk dilipat untuk memudahkan pengangkutan, kerusi mudah alih ini secara semula jadi lebih terdedah kepada kerosakan berbanding perabot lain,” ujar Melica menerangkan kerusi itu.
Melica dalam penerangannya berkata disebabkan itu tidak banyak kerusi yang dapat ditahan semasa ujian ketika itu, sekali gus membuatkan contoh (kerusi) yang ada sangat berharga.
Sumber: The Sun