PUTRAJAYA, 10 OKTOBER 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menjalankan fungsi dan peranannya mengawal selia industri jualan langsung melalui Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 menyokong inisiatif yang julung kali dilaksanakan oleh Persatuan Jualan Langsung iaitu Direct Selling Association Malaysia (DSAM) dan Malaysian Direct Distribution Association (MDDA) untuk membenarkan hanya pengedar berdaftar yang mempunyai Letter of Authorisation (LOA) sahaja dibenarkan untuk memasarkan produk jualan langsung di di platform dalam talian. Inisiatif ini dilakukan oleh pihak persatuan bersama penyedia tapak pasar dalam talian iaitu LAZADA.
Kementerian berpandangan bahawa usaha dan kerjasama ini akan mewujudkan landskap perniagaan yang adil dan harmoni, di samping dapat meningkatkan keyakinan pengguna untuk membeli produk jualan langsung yang dipromosikan melalui platform dalam talian. Ia juga sebagai usaha untuk mengekalkan kualiti dan ketulenan produk yang menyumbang kepada ekosistem dalam talian yang lebih selamat.
Berkaitan perkara ini juga, pihak syarikat jualan langsung adalah bertanggungjawab untuk memantau setiap aktiviti pemasaran yang dijalankan oleh pengedar masing-masing, termasuklah untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang memasarkan produk jualan langsung di platform LAZADA tanpa kebenaran syarikat pemegang Lesen Jualan Langsung.
Pada masa akan datang, Kementerian turut mengalu-alukan kolaborasi seumpama ini dapat dimeterai dengan lain-lain penyedia platform dalam talian kerana ia dijangka dapat memberikan nilai tambah terhadap perkembangan perdagangan dalam negeri khususnya dan ekonomi negara amnya melalui industri jualan langsung.