Bencana dahsyat boleh berlaku pada bila-bila masa. Kenyataan ini bunyinya ringkas tetapi menyimpan realiti kelam yang tidak boleh disanggah oleh sesiapa pun.
Negara ini sudah merasai sendiri siri bencana alam yang berlaku dan ada masanya, tidak terduga sama sekali.
Hujan lebat tanpa henti adalah fenomena cuaca yang boleh melanda bumi bertuah ini saban tahun.
Keadaan ini boleh membawa kepada kejadian banjir besar, musibah seterusnya yang boleh meragut nyawa dan memusnahkan harta benda, seperti yang lazim melanda negeri-negeri di Pantai Timur.
Kita juga pernah menyaksikan peristiwa tanah runtuh seperti yang berlaku di Batang Kali beberapa tahun lepas.
Infrastruktur asas boleh musnah dan runtuh sepenuhnya. Talian telefon terputus dan capaian internet mungkin hilang begitu sahaja.
Bayangkan dalam suasana panik, pasukan penyelamat yang tiba di lokasi untuk memberi bantuan seolah-olah ‘hilang’ mata dan telinga.
Komunikasi pasti menjadi kucar-kacir dan arahan daripada pusat kawalan misalnya, mungkin tidak dapat disampaikan kepada mereka yang berada di medan dengan sebaiknya.
Koordinasi yang tempang di kawasan bencana akan menjadikan operasi mencari dan menyelamat bertambah rumit, sekaligus membataskan peluang untuk menyelamatkan mangsa dalam keadaan selamat. Satu lagi musibah yang mahu dielakkan.
Di beberapa buah negara maju, masalah ini diatasi dengan sistem komunikasi berasaskan kenderaan yang boleh digerakkan lokasi bencana dengan mudah.
Misalnya sistem FirstNet & Mobile Emergency Communication Units (MECU) di Amerika Syarikat dan Emergency Mobile Base Stations di Australia.
Sistem ini menggabungkan pelbagai teknologi moden termasuk teknologi satelit yang dipasang dalam sebuah kenderaan dan boleh digerakkan ke lokasi bencana dengan pantas.
MCMC tawar PRIME sebagai solusi
Melihat kepada betapa pentingnya kita memiliki sistem yang serupa, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Kementerian Komunikasi gigih mencari penyelesaian dan lahirlah Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak atau PRIME.
Sistem PRIME berasaskan kenderaan yang dibangunkan oleh MCMCPRIME adalah jawapannya kerana sistem ini menyediakan kemudahan komunikasi moden semasa bencana, kecemasan, atau di kawasan yang tidak mempunyai liputan infrastruktur komunikasi.
Secara mudahnya, PRIME dapat memastikan kesinambungan komunikasi dalam situasi genting ketika bencana.
Komunikasi yang stabil dan tidak terputus-putus dapat membantu agensi penyelamat, pasukan penguatkuasa, dan pihak berkuasa tempatan untuk berkoordinasi dengan lebih pantas.
Hasilnya, keberkesanan misi menyelamat bertambah dan pada masa yang sama, maklumat di lokasi juga dapat dikongsikan dengan orang awam tanpa sebarang halangan.
Selain itu, PRIME juga dapat memastikan kelancaran pengagihan bantuan kemanusiaan dengan lebih teratur di lokasi bencana.
Gabungan pelbagai teknologi komunikasi moden yang dipasang dalam sebuah kenderaan
Jadi, bagaimana PRIME berfungsi dan apakah sistem komunikasi yang digunakan?
Teknologi yang digunakan untuk membangunkan sistem PRIME bukan calang-calang dan melibatkan gabungan beberapa teknologi terkini.
Gabungan teknologi tersebut termasuklah:
Komunikasi satelit untuk kawasan tanpa liputan selular.
Rangkaian selular (cellular network) mudah alih.
Radio dua-hala (two-way radio) untuk kegunaan pasukan operasi.
Wi-Fi hotspot untuk akses internet pantas.
Drone bagi memperluaskan liputan dan menyampaikan maklumat secara terus di lokasi kritikal.
Apabila PRIME turun padang dan antenanya dihidupkan, sistem ini seolah-olah ‘menawan’ kawasan bencana dan menyelesaikan masalah komunikasi yang sedang berlaku.
Liputan internet mencapai sejauh 150 meter di sekeliling kenderaan PRIME boleh ditawarkan dalam masa beberapa minit sahaja.
Manakala sokongan titik capaian WiFi yang berfungsi untuk memperluas jangkauan apabila perkhidmatan diperlukan turut tersedia.
Mudah digerakkan ke mana-mana lokasi dan menangani pelbagai situasi komunikasi
Walaupun PRIME dibina untuk menangani kesulitan yang dialami di kawasan bencana, namun sistem ini praktikal untuk sebarang situasi komunikasi dan boleh digerakkan ke pelbagai lokasi dengan mudah.
Drone yang menjadi sebahagian daripada sistem PRIMEContohnya, PRIME boleh digunakan alat sokongan program outreach dan literasi digital di kawasan luar bandar.
PRIME juga boleh bertindak sebagai platform sokongan kepada pusat komuniti digital NADI (National Information Dissemination Centre).
Malah, sistem ini turut sesuai digerakkan untuk mengukuhkan komunikasi semasa acara berskala besar yang memerlukan sistem tambahan.
Setakat ini, sebanyak dua unit PRIME sudah pun ditempatkan iaitu di Semenanjung dan Sabah. Manakala unit ketiga sedang dibangunkan dan akan ditempatkan di Sarawak menjelang Oktober ini.
Boleh digunakan dalam pelbagai situasi bencana dan bukan bencana
Sebagai alat yang dibina untuk menyokong keterhubungan komunikasi, khususnya di kawasan bencana, pengguna PRIME terdiri daripada agensi penyelamat dan penguatkuasaan seperti NADMA, PDRM, Bomba, dan ATM.
Namun, agensi-agensi kerajaan termasuk di peringkat negeri dan daerah juga boleh menggunakan PRIME untuk menangani situasi bencana.
Peluncuran sistem PRIME di Sabah oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi FadzilManakala dalam situasi-situasi biasa, PRIME juga boleh digunakan untuk komuniti tempatan seperti program NADI untuk akses internet.
Dengan adanya PRIME, Malaysia kini memiliki infrastruktur komunikasi berasaskan kenderaan yang mampu digerakan ke mana-mana kawasan yang terputus rangkaian, khususnya di kawasan bencana dengan segera.
Ini dapat memastikan tiada jurang komunikasi berlaku, membolehkan pasukan penyelamat bertindak dengan lebih cepat, terancang dan berkesan untuk menyelamatkan nyawa serta harta benda.
Untuk maklumat lanjut berhubung PRIME, anda boleh melayari Laman web rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghantar email rasmi menerusi aduan@mcmc.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan MCMC di 1800-188-030.