Seorang suri rumah di Kota Bekasi, Jawa Barat, Indonesia nekad menjual kereta yang disewanya kerana dilaporkan terdesak.
Menurut portal liputan6.com, suspek kini telah pun ditahan oleh pihak polis.
Dengan memakai pakaian penjara, wanita yang berusia 31 tahun itu hanya tertunduk ketika dia dihadirkan Balai Polis Kota Bekasi untuk sebutan kes.
Wanita itu dikatakan seakan menyesali tindakannya kerana atas perbuatannya itu, dia terpaksa berpisah dengan keluarganya.
Kes yang membabitkan wanita itu bermula ketika dia menyewa kereta sewa dengan harga 350 ribu rupiah sehari. Apabila tempoh sewaan itu tamat, suspek dilaporkan tidak mengembalikan kereta tersebut dengan alasan mahu melanjutkan tempoh sewaan.
“Suspek hanya menghubungi mangsa melalui telefon untuk melanjutkan tepoh sewaan dan membayar melalui transaksi online,” kata Ketua Polis Kota Bekasi, Kompol Armayini.
Suspek kemudiannya bertemu dengan mangsa bagi membincangkan lanjutan penyewaan kereta untuk dua minggu berikutnya. Namun anehnya, pada waktu itu suspek datang menggunakan kenderaan lain dan bukannya kereta mangsa.
“Suspek meminta meminta untuk melanjutkan tempoh sewaan selama 15 hari. Perkara tersebut telah persetujui oleh mangsa,” Jelasnya.
Namun, ketika sampai pada waktunya, suspek tidak mengembalikan kereta itu kepada mangsa. Bukan sahaja itu, suspek juga tidak membayar sewa yang telah dipersetujui seperti yang tertulis dalam surat perjanjian.
Susulan daripada itu, mangsa cuba untuk menghubungi suspek, namun gagal. Oleh yang demikian, dia telah memutuskan untuk melaporkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Berdasarkan daripada laporan mangsa, pegawai polis kemudiannya terus bergegas memburu suspek dan berjaya menangkapnya.
Pihak polis juga berhasil memperoleh bukti tiga kereta yang disyaki digunakan oleh suspek untuk modus operandi yang sama.
“Tiga kereta lain itu disyaki kepunyaan mangsa yang berlainan,” katanya.
Atas tindakannya, suspek akan didakwa dengan Artikel 378 Kanun Jenayah dan atau Artikel 372 Kanun Jenayah mengenai penipuan dan pencurian.
“Jika didapati bersalah, suspek bakal berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 4 tahun,” ujarnya.
Sumber: Liputan 6