Kerana Sir Jim Ratcliffe, Manchester United Mungkin Dilarang Sertai UCL Musim Depan
Kelab Manchester United (MU) dilaporkan berpotensi untuk dilarang daripada menyertai Liga Juara-Juara (UCL) pada musim depan.
Situasi berkenaan dikatakan berpunca daripada berita Sir Jim Ratcliffe, 71, berjaya melengkapkan pembelian saham minoriti kelab berkenaan, lapor Sport Bible.
Difahamkan, Ratcliffe ketika ini bersedia mengambil alih sebanyak 25 peratus kepentingan saham dalam MU dengan nilai £1.3 bilion (RM7.6 bilion).
Pengambil alihan itu didorong oleh keputusan pemilik semasa MU, keluarga Glazer yang dikatakan menamatkan rundingan dengan billionaire dari Qatar, Sheikh Jazim untuk menjual pegangan dalam kelab itu sepenuhnya.
Sebaik sahaja perjanjian itu termeterai, Ratcliffe bakal menambah satu lagi kelab bola sepak dalam portfolionya.
Terdahulu, syarikat Ratcliffe yang bernama Ineos telah memiliki kelab bola sepak Nice sebagai pembelian utama mereka.
Tetapi di bawah peraturan semasa pemilikan kelab UEFA, menegaskan bahawa tiada entiti yang boleh mempunyai kawalan ke atas lebih daripada satu kelab yang menyertai pertandingan UEFA.
Kerana peraturan tersebut, Nice dan MU tidak boleh bertanding bersama-sama dalam pertandingan utama peringkat kelab di Eropah.
Namum, Nice dan MU masih berpeluang untuk beraksi dalam saingan Eropah sekiranya salah satu kelab berjaya mendapatkan slot automatik ke UCL manakala satu lagi kelab mendapat slot untuk beraksi di Conference League.
Bagaimanapun, jika kedua-dua kelab berjaya mendapatkan slot automatik ke UCL, kelab yang berjaya menamatkan saingan liga di posisi lebih baik atau muncul juara akan mendapat slot ke UCL.
Manakala kelab yang menamatkan kedudukan lebih bawah pula dilarang daripada beraksi dalam saingan itu biarpun berjaya mendapatkan slot.
Nice yang ketika ini yang beraksi dalam Ligue 1 menampilkan persembahan yang sangat baik dan hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, PSG.
Manakala MU pula memulakan saingan EPL dengan prestasi hambar dan kini hanya berada di posisi ke enam. Mengambil kira prestasi semasa Nice, MU sekurang-kurangnya perlu menamatkan liga di tangga kedua atau muncul sebagai juara.
Sekiranya MU dan Nice masing-masing berkongsi kedudukan yang sama selepas liga tamat, MU akan mendapat slot kerana kedudukan mata EPL yang lebih tinggi berbanding Ligue 1 dalam UEFA.
BACA: Proton Pakistan Promo Saga, Rakyat Malaysia Tolong “Support” Dekat Komen
Dalam pada itu, sumber UEFA telah mengesahkan scenario pemilikan Ineos bagi dua kelab tersebut.
“Seperti peraturan yang ditetapkan, ia adalah situasi yang jelas. Ineos memiliki Nice dan bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mengendalikan United.
“Melainkan peraturan diubah, atau Ineos menjual salah satu kepentingan mereka, kedua-dua kelab itu tidak boleh bermain dalam pertandingan di Eropah.
“Kecuali satu kelab beraksi di UCL dan satu lagi dalam Conference League,” jelas sumber itu.
Sumber: Sport Bible, The Sun